Muzakarah bersama pegawai dan kakitangan masjid

Muzakarah bersama pegawai dan kakitangan masjid

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Bagi membincangkan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh pegawai dan kakitangan masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid telah mengadakan sesi muzakarah bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop, hari ini.

Turut hadir semasa muzakarah berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri, ketua-ketua bahagian, pegawai dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid serta pegawai-pegawai masjid seluruh Daerah Brunei dan Muara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, perbincangan berkenaan diadakan sebagai usaha pihak jabatan memperbaiki struktur pentadbiran masjid-masjid, agar kepimpinan para pegawai dan kakitangan masjid di masjid-masjid lebih berkualiti dan cemerlang.

Para pegawai dan kakitangan masjid yang menghadiri sesi muzakarah berkenaan.
Para pegawai dan kakitangan masjid yang menghadiri sesi muzakarah berkenaan.

Ia juga berobjektif bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan menjalin ukhuwah sesama pegawai dan kakitangan masjid dengan Pengarah Hal Ehwal Masjid, serta meningkatkan kredibiliti pegawai dan kakitangan masjid dalam mentadbir sesebuah masjid.

Selain itu juga, bagi melahirkan pegawai dan kakitangan masjid yang cemerlang, dinamik dan berkualiti, serta bertukar-tukar fikiran dalam mencari cara yang terbaik dalam mengimarahkan masjid, di samping memantau masalah-masalah yang dihadapi semasa bertugas di masjid masing-masing.

Muzakarah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Haji Aslenan bin Haji Metussin dan diikuti dengan ucapan alu-aluan Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei Muara, Haji Jamil bin Haji Gani.

Sesi muzakarah juga diselajurkan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

ARTIKEL YANG SAMA