Muzakarah majukan Daerah Tutong

Muzakarah majukan Daerah Tutong

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 16 Jun – Dengan hasrat untuk bertukar-tukar fikiran dan berkongsi maklumat mengenai perkembangan terkini serta program yang dilaksanakan bagi memajukan lagi Daerah Tutong, Pegawai Daerah Tutong telah mengadakan muzakarah bersama para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli majlis perundingan mukim (MPM) dan kampung (MPK) di daerah ini, yang diadakan di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, kelmarin.

Muzakarah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali, itu turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit.

Awang Wardi menyatakan bahawa muzakarah itu bertujuan untuk bertukar-tukar fikiran serta berkongsi maklumat secara langsung dengan para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli MPM dan MPK.

Selain itu, ulasnya lagi, ia juga akan dapat mengeratkan lagi hubungan di antara pihak Jabatan Daerah Tutong dengan pemimpin-pemimpin masyarakat serta ahli-ahli MPM dan MPK.

Muzakarah itu antara lain tertumpu kepada membincangkan mengenai dengan persediaan-persediaan bagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 bagi Daerah Tutong.

Turut dibincangkan ialah Skim Perkhidmatan Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung 2013 bagi memudahkan para pemimpin masyarakat serta ahli-ahli MPM dan MPK untuk lebih memahami khususnya peraturan-peraturan, syarat tatacara baru sepertimana yang terkandung di dalam skim perkhidmatan berkenaan.

Selain itu, sesi muzakarah juga diteruskan dengan penerangan mengenai Program Destinasi Tutong iaitu salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Daerah Tutong untuk meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti perekonomian di daerah ini melalui keunikan produk-produk kampung, budaya dan tempat-tempat menarik yang terdapat di Daerah Tutong dengan kerjasama dan sokongan yang padu daripada pemimpin-pemimpin masyarakat, ahli-ahli MPM dan MPK serta semua peringkat masyarakat di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA