Muzakarah peluang berkongsi maklumat

Muzakarah peluang berkongsi maklumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Kementerian Pendidikan, kelmarin, telah mengadakan sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam Meragang.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, sesi berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, manakala itu, ahli-ahli MMN telah diketuai oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Zasia binti Sirin.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan di Kementerian Pendidikan serta pegawai-pegawai di Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

Menurut kenyataan itu, tujuan dan objektif sesi muzakarah ini adalah sebagai tempat bagi ahli-ahli MMN dan pihak Kementerian Pendidikan untuk berkongsi maklumat mengenai perkembangan aktiviti, dasar serta polisi kementerian yang terkini.

Sesi yang diadakan setiap tahun ini memberikan peluang kepada kedua-dua belah pihak sama-sama berbincang dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan tanpa menunggu sehingga dibawakan ke Persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang dijangka diadakan pada bulan Mac nanti.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menjalin dan membangunkan ukhuwah yang lebih erat antara kementerian dengan ahli-ahli MMN.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapan alu-aluannya telah menerangkan inisiatif Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan tahap kualiti pendidikan diselaraskan dengan hala tuju pelajar yang bermula daripada peringkat rendah, menengah dan pasca menengah.

Melalui inisiatif-inisiatif di peringkat tersebut adalah bagi mempersiapkan pelajar-pelajar berkelayakan untuk disalurkan ke peringkat seterusnya. Di peringkat pengajian tinggi juga sentiasa giat berusaha memastikan pelajar-pelajar yang diterima dapat dilengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran bersesuaian dengan kehendak negara melalui transformasi pendidikan teknik, perkembangan institusi pengajian tinggi termasuk Politeknik Brunei serta universiti dan skim biasiswa dalam dan luar negara.

Melalui sesi permuzakarahan ini, pihak kementerian menyatakan harapan agar tujuannya dapat dicapai selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-11 MMN 2015 iaitu di antara pendekatan itu ialah penyerapan ‘positive mindset’ kepada rakyat, supaya mereka lebih matang bertindak, selaras dengan tuntutan zaman di samping menghidangkan idea-idea besar untuk kemajuan negara.

Dengan demikian itu, pihak Kementerian Pendidikan mengalu-alukan para ahli MMN untuk turut menyumbang dan terlibat sama berusaha ke arah membangunkan pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA