Muzakarah Projek Jambatan Temburong

Muzakarah Projek Jambatan Temburong

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Projek Jambatan penghubung Daerah Brunei-Muara dan Daerah Temburong apabila siap pembinaan pada 2019 bukan sahaja akan menjadi mercu tanda bagi Negara Brunei Darussalam malah akan menjadi sebuah jambatan yang terpanjang di rantau Asia Tenggara.

Projek itu merupakan salah satu projek kebangsaan terbesar yang melibatkan pembinaan jambatan sepanjang kira-kira 30 kilometer dan akan menjadi penghubung kepada Jalan Utama Mentiri di Daerah Brunei-Muara dengan Jalan Labu Estet di Daerah Temburong, merentasi Teluk Brunei.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan mengadakan Sesi Muzakarah bagi Cadangan Projek Jambatan Temburong dengan penduduk kawasan yang terlibat khususnya di Kampung Serasa yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Balai Polis Muara, hari ini.

Hadir semasa sesi muzakarah itu, ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd. Daud bin Karim, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta penduduk kampung yang terlibat.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan doa selamat yang dipimpin oleh Haji Jamil bin Haji Abdul Ghani dan diteruskan dengan kata alu-aluan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud antara mereka yang menghadiri sesi muzakarah itu.
Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud antara mereka yang menghadiri sesi muzakarah itu.
Dr. Roslinah ketika menyampaikan penerangan mengenai pembinaan Jambatan Temburong di majlis itu.
Dr. Roslinah ketika menyampaikan penerangan mengenai pembinaan Jambatan Temburong di majlis itu.

Taklimat mengenai dengan status cadangan Projek Jambatan Temburong telah disampaikan oleh Jurutera dari Bahagian Urus Setia Cadangan Projek Jambatan Temburong, JKR, Dr. Roslinah binti Haji Abdul Karim, yang menerangkan mengenai pakej-pakej pembinaan jambatan berkenaan dan status pelaksanaan bagi pakej-pakej pembinaan jambatan itu.

Semasa sesi muzakarah itu juga, ditayangkan klip video mengenai proses kerja pembinaan serta sesi soal jawab bagi penduduk kampung yang terlibat.

Sesi muzakarah itu bertujuan untuk mengongsi maklumat-maklumat pemberigaan cadangan Projek Jambatan Temburong, di samping menyediakan ruang bagi sesi soal jawab antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pembinaan jambatan bersama masyarakat dan penduduk di sekitar kawasan yang terlibat.

Sesi muzakarah itu juga adalah wadah kerajaan untuk sama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, terutama penduduk kampung yang terlibat secara langsung dengan projek berkenaan.

Cadangan Projek Jambatan Temburong merupakan salah satu projek kebangsaan terbesar yang dianggarkan mempunyai kepanjangan 30 kilometer dan akan menjadi penghubung kepada Jalan Utama Mentiri di Daerah Brunei-Muara dengan Jalan Labu Estet di Daerah Temburong, merentasi Teluk Brunei. Pembinaan jambatan tersebut dijangka mengambil masa selama 48 bulan yang melibatkan konsultan-konsultan dan syarikat-syarikat pembinaan tempatan dan antarabangsa.

Sesi-sesi muzakarah serupa juga akan diadakan lagi di beberapa buah tempat di negara ini, khususnya di kawasan-kawasan yang terbabit, di mana sesi muzakarah seterusnya yang dikhususkan bagi penduduk Daerah Temburong akan diadakan pada 21 November nanti.

Dengan adanya sesi muzakarah itu, diharapkan akan dapat menangani beberapa isu yang bersangkut-paut dengan keselamatan, kesihatan dan keselesaan orang ramai, lalu lintas, kecemasan dan sebagainya di sepanjang proses pembinaan Jambatan Temburong berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA