Muzik orkestr...

Muzik orkestra tambat hati penonton

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Alunan muzik yang menawan dan indah serta persembahan yang penuh bertenaga berjaya menambat hati para penonton di acara Toyota Classics 2016, semalam, yang menampilkan Kumpulan Orkestra Baltic Neopolis and The Covent Garden Soloists serta mengetengahkan Pamela Tan-Nicholson dan Vasko Vassilev.

Dengan hasrat untuk mengetengahkan persembahan muzik yang menarik kepada para penonton sambil beramal, persembahan yang berlangsung di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) itu dibawa khas bagi para penggemar muzik klasikal di Brunei oleh Toyota Motor Asia Pacific Pte Ltd dan NBT (Brunei) Sdn Bhd.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, Naib Presiden Eksekutif Toyota Motor Asia Pacific, Michinobu Sugata serta para jemputan khas.

Terdahulu sebelum bermulanya persembahan itu, Timbalan Pengerusi NBT (Brunei) Sdn Bhd, Ninan Chacko dalam ucapan alu-aluannya amat menghargai usaha semua pihak di mana konsert amal yang diadakan untuk kali ke-22 itu menunjukkan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat untuk menghulurkan khidmat bakti kembali kepada masyarakat yang banyak menyokong Toyota dan Lexus.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain yang menghadiri persembahan Toyota Classics 2016.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain yang menghadiri persembahan Toyota Classics 2016.

Beliau berkata bahawa walau bagaimanapun keadaan ekonomi global pada masa ini, Toyota Motor Asia Pacific dan NBT akan terus komited untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan atau kurang bernasib baik.

Pada majlis itu, tiga keping cek berjumlah $60,000 kesemuanya telah disampaikan kepada tiga buah persatuan iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Annur Harapan dan Persatuan SMARTER Brunei.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama Michinobu Sugata dan Ninan Chacko menyampaikan cek kepada Pusat Ehsan yang diterima oleh Dato Paduka Dr. Haji Omar.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama Michinobu Sugata dan Ninan Chacko menyampaikan cek kepada Pusat Ehsan yang diterima oleh Dato Paduka Dr. Haji Omar.
Yang Berhormat Pehin bersama Michinobu Sugata dan Ninan Chacko menyampaikan cek kepada Annur Harapan yang diterima oleh Dayang Noorsurainah.
Yang Berhormat Pehin bersama Michinobu Sugata dan Ninan Chacko menyampaikan cek kepada Annur Harapan yang diterima oleh Dayang Noorsurainah.

Yang Berhormat Pehin bersama-sama Michinobu Sugata dan Ninan Chacko menyampaikan cek berjumlah $20,000 masing-masing kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam yang diterima oleh Pemegang Amanah Pendidikan, Dato Paduka Dr Haji Omar bin Haji Khalid, kepada Annur Harapan yang diterima oleh Pengarah Annur Harapan, Dayang Noorsurainah Tengah dan kepada SMARTER Brunei yang diterima oleh Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman.

Majlis diteruskan dengan persembahan yang menarik oleh Kumpulan Orkestra Baltic Neopolis and The Covent Garden Soloists yang mengetengahkan Pamela Tan-Nicholson dan Vasko Vassilev di mana mereka bukan sahaja memainkan pelbagai pilihan muzik klasik tetapi juga menyanyikan lagu-lagu popular termasuk Puccini’s Madame Butterfly, Turandot, Verdi’s La Traviati dan Bizet’s Carmen.

Di samping itu, buat kali pertamanya, kumpulan koir tempatan Brunei turut mendendangkan lagu yang digubah khusus oleh Pamela bertajuk ‘ASEAN Harmony’ dan semasa konsert itu juga, orkestra berkenaan juga mendendangkan dua lagu tradisional Brunei iaitu ‘Jong Sarat’ dan ‘Ya Hayu Ya Qay yum’.

ARTIKEL YANG SAMA