Muzium baru dibuka di KB Julai ini

Muzium baru dibuka di KB Julai ini

Oleh Siti Nur Wasimah S & Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Sebuah muzium baru di Daerah Belait telah pun ditetapkan dan telah diwartakan di bawah Akta Barang-barang Perbekalan dan Terpendam dalam Akta Jabatan Muzium-muzium.

Pengarah Muzium-muzium, Pengiran Dr Karim bin Pengiran Haji Osman menjelaskan, muzium itu nanti akan dijadikan muzium tetap di Daerah Belait dan perancangannya sehingga hari ini telah berjalan dengan lancar.

“Jika tiada halangan-halangan, muzium baru di Daerah Belait ini akan dibukakan pada bulan Julai tahun ini,” ujarnya semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Aplikasi iPad dan Pek Pendidikan Kapal Karam Brunei yang berlangsung di Muzium Maritim Brunei Darussalam hari ini.

Menjelaskan lanjut mengenai muzium itu, beliau berkata ia akan mempamerkan mengenai alam flora dan fauna di Daerah Belait, sejarah, budaya dan arkeologi daerah berkenaan serta galeri sementara.

Tambahnya lagi, pihak Jabatan Muzium-muzim Brunei kini telah mengambil inisiatif dalam menubuhkan muzium di daerah-daerah lain dan sehingga hari ini ia masih dalam perancangan.

Bagi Daerah Temburong, sebuah tempat telah pun ditetapkan bagi penubuhan muzium, manakala itu, bagi Daerah Tutong pula, buat masa ini, pihak muzium Brunei sedang mencari tempat yang sesuai.

Ditanya mengenai dengan Aplikasi iPad dan Pek Pendidikan Kapal Karam Brunei yang telah dilancarkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pagi tadi, Pengiran Dr. Karim menjelaskan bahawa pihak muzium akan menjemput sekolah-sekolah untuk menggunakan pek pendidikan ini.

Di samping itu, tambahnya, pihak muzium turut mengambil inisiatif melawat ke sekolah-sekolah untuk memberigakan lagi pek pendidikan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan perasaan sangat gembira dan berbesar hati kerana bekerjasama dengan Total E&P Deep Offshore Borneo B.V. dalam menjayakan pelancaran ini di samping meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai sejarah-sejarah Negara Brunei Darussalam serta sama-sama memberigakan peranan Jabatan Muzium-muzium.

Beliau berharap agar aplikasi ini disambut baik oleh orang ramai khususnya pelajar-pelajar dan belia masa kini dalam menghidupkan minat khususnya dalam bidang sejarah Negara Brunei Darussalam.

Menurutnya lagi, pek pendidikan ini diharap akan memberikan ilmu pengetahuan yang baru kepada pelajar-pelajar dalam peringkat awal lagi agar mereka tahu mengenai dengan kapal karam di negara ini dan dapat melahirkan minat mereka dalam sejarah.

Pihak muzium juga akan mengadakan usaha yang berterusan dalam memberigakan lagi budaya-budaya dan sejarah Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA