Muzium Daerah Belait dibuka untuk kunjungan ramai

Muzium Daerah Belait dibuka untuk kunjungan ramai

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 26 Julai – Daerah Belait menjadi daerah pertama setakat ini yang mempunyai sebuah muzium yang mempamerkan sejarah masyarakatnya, dinamakan Muzium Daerah Belait yang terletak di Jalan Maulana dan telah dibukakan untuk kunjungan orang ramai pada Sabtu lalu.

Hari ini, warga media dan perwakilan dari agensi-agensi pelancongan telah diperkenalkan kepada galeri-galeri yang ada di muzium tersebut selain keanggotaannya yang terlibat dalam merealisasikan muzium yang menjadi kemegahan kepada rakyat dan penduduk di daerah ini, menerusi Hari Terbuka Muzium Daerah Belait.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Muzium-muzium, Dayang Mariani binti Haji Abu Bakar berkata memang menjadi hasrat mereka supaya muzium ini akan menjadi tumpuan dan kunjungan orang ramai khususnya masyarakat di daerah ini dan daerah-daerah lain amnya.

Selain itu, tambah beliau, mereka juga akan menyusun berbagai-bagai aktiviti dan sentiasa membukakan cadangan dan saranan daripada orang ramai bagi kemajuannya dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kawasan persekitaran bangunan itu juga amat luas, sehubungan dengan itu, institusi-institusi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk pihak swasta dan individu yang berhasrat untuk mengadakan pameran atau aktiviti-aktiviti di ruang pameran dan juga kawasan luar bangunan boleh menghubungi Jabatan Muzium-muzium untuk urusan selanjutnya.

Gambar ramai pegawai dan kakitangan Jabatan Muzium-muzium Brunei yang bertugas di Muzium Daerah Belait pada masa ini.
Gambar ramai pegawai dan kakitangan Jabatan Muzium-muzium Brunei yang bertugas di Muzium Daerah Belait pada masa ini.

“Peluang itu juga kami hasratkan supaya lebih ramai pengunjung datang ke muzium itu, selain sebagai antara cara pemberitahuan dan pengenalan muzium itu kepada orang ramai. Untuk itu, Jabatan Muzium-muzium dari semasa ke semasa akan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh menarik minat orang ramai berkunjung yang termasuk penaiktarafan dan penambahbaikan kepada pameran-pameran,” ujarnya.

Pada acara hari terbuka berkenaan, jemputan telah diterangkan mengenai dengan sejarah bangunan muzium, selain mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam muzium seperti tidak boleh makan dan minum dalam ruang pameran manakala mengambil gambar pula dibenarkan untuk mengabdikan kenangan lawatan ke muzium tersebut.

Penolong Penyelidik Arkeologi Kanan merangkap Pengurus Muzium Daerah Belait, Awang Erdi Herman bin Tiban memberitahu, bangunan yang dibina di atas sebidang tanah seluas enam ekar itu mempunyai lakaran sejarahnya yang membanggakan kerana ia pernah digunakan beberapa kali sebagai Dewan Santap semasa keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke Daerah Belait sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda.

Menurutnya lagi, konsep seni bina bangunan itu merupakan gabungan di antara seni bina Melayu tempatan dan Kolonial, selain dua jenis bentuk atap dapat dikenal pasti pada bangunan berkenaan iaitu atap belah bumbung dan potong limas.

Bangunan itu telah diubahsuai pada tahun 1970an untuk menambah ruang bagi menampung jumlah orang yang lebih ramai, seterusnya ia diperbaiki dengan mengekalkan reka bentuk asal pada tahun 2011 oleh Jabatan Daerah Belait, kemudian diambil alih oleh Jabatan Muzium-Muzium Brunei pada tahun ini untuk dijadikan muzium khas bagi Daerah Belait.

Bangunan yang dibina pada tahun 1938 itu pada asalnya adalah kediaman penolong Residen British sebelum dijadikan kediaman rasmi bagi pegawai Daerah Belait hingga tahun 1990.

Antara yang dipamerkan di ruang galeri warisan budaya di Muzium Daerah Belait, Jalan Maulana, Kuala Belait.
Antara yang dipamerkan di ruang galeri warisan budaya di Muzium Daerah Belait, Jalan Maulana, Kuala Belait.

pg04_160727_b

Pegawai Daerah Belait pertama yang mendiami bangunan itu ialah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar bin Pengiran Omar yang merupakan anak tempatan pertama menjawat jawatan penolong Residen British, kemudiannya Dato Paduka Haji Mohd Kassim bin Haji Johan yang merupakan pegawai Daerah Belait terakhir menghuni bangunan itu sebelum berpindah ke kediaman rasmi yang digunakan sekarang.

Bangunan ini juga telah diwartakan sebagai sebuah monumen yang bersejarah di Daerah Belait pada tahun 2006 di bawah Akta Barang-barang Purbakala dan Harta Terpendam 1967 (edisi semakan 1984, 1991, 2002, 2004,2006).

Muzium Daerah Belait dibahagikan kepada lima galeri iaitu ruang galeri pertama untuk mempamerkan warisan budaya, galeri kedua bagi sejarah pentadbiran dan perkembangan Daerah Belait, galeri ketiga bagi sejarah industri minyak dan gas, sementara galeri keempat merupakan galeri pameran sementara dan galeri kelima bagi mempamerkan warisan alam semula jadi Daerah Belait.

Galeri khas pada masa ini diisikan dengan gambar-gambar imbasan kenangan sempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Daerah Belait sempena Sambutan Perayaan Ualng Tahun Hari Keputeraan Baginda dari tahun 1970 hingga 2015.

Dari semasa ke semasa, galeri ini akan mengetengahkan pameran-pameran yang akan menimbulkan semangat kesedaran, kemegahan dan penghargaan terhadap warisan budaya dan alam semula jadi daerah ini khususnya dan negara amnya.

Muzium Daerah Belait dibukakan untuk kunjungan orang ramai setiap hari mulai 23 Julai lalu hingga 5 Ogos 2016, dari pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali hari Jumaat yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 2:30 petang hingga 5 petang.

Sementara itu, mulai 6 Ogos nanti, muzium ini akan dibuka lima hari seminggu iaitu setiap Sabtu hingga Rabu, setiap minggu.

Selain itu, Jabatan Muzium-muzium juga memberikan peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan buku-buku terbitan jabatan berkenaan yang turut menerbitkan sebuah buku kompilasi Daerah Belait, rencana-rencana yang pernah diterbitkan dan juga yang baru ditulis mengenai sejarah, demografi, budaya dan hidupan liar.

Buku tiga dalam satu ini dijual dengan harga $23 dan dihasilkan oleh penyelidik Jabatan Muzium-Muzium Brunei dan lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA