Muzium filateli direalisasikan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Jan – Negara Brunei Darussalam akan menjadi negara kedua di ASEAN selepas Singapura jika penubuhan muzium filateli di bangunan Pejabat Pos cawangan Mumong menjadi realiti dalam masa terdekat ini.

Setiausaha Agung Persatuan Filatelik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Awang Bakar Berudin memberitahu Media Permata, hari ini, tentang perkara tersebut dan menurutnya lagi, persatuan mereka sedang rancak menyediakan kertas cadangan untuk dihadapkan kepada Kementerian Perhubungan dengan menyusun secara rapi daripada semua aspek bagi merealisasikan penubuhan muzium itu nanti.

Menurutnya lagi, rancangan penubuhan muzium tersebut adalah diselaraskan dengan hasrat Kementerian Perhubungan untuk memperkembangkan infrastruktur dan mempelbagaikan aktiviti di bangunan pejabat pos selain dihasratkan untuk memperkembangkan hobi koleksi setem kepada orang ramai khususnya anak-anak sekolah dan belia-belia di negara ini.

Beliau menambah, muzium itu nanti akan dibuka di bahagian lantai pertama bangunan itu dan berharap hasrat baik Kementerian Perhubungan itu akan tercapai dan orang ramai terutama penggemar-penggemar koleksi setem tempatan juga akan berpeluang menyaksikan pameran-pameran setem lama, yang juga sebagai khazanah negara dari segi sejarah dan sebagainya.

Selain pameran setem-setem koleksi peribadi dan gabungan koleksi pejabat pos, muzium itu nanti juga akan menganjurkan berbagai-bagai aktiviti yang menjurus ke arah menyuntik minat anak-anak muda bagi mula berjinak-jinak dengan hobi koleksi setem.

Awang Bakar semasa ditemui Media Permata.

“Selain kami juga akan memastikan peminat-peminat di kalangan belia-belia itu nanti akan dapat mencapai tahap yang membolehkan mereka menjadi koleksi setem profesional dan layak untuk menyertai pameran-pameran diadakan di seluruh dunia, yang sentiasa menganjurkan aktiviti pameran-pameran filateli dengan menyediakan kemudahan-kemudahan seperti tempat penginapan, makan, pengangkutan dan sebagainya secara percuma,” katanya.

Menurutnya, memang tidak disangkal bahawa hobi koleksi setem mungkin sudah semakin berkurangan kerana mengikut peralihan zaman dan kalangan generasi masa kini lebih gemar kepada hobi penggunaan gajet dan media-media sosial, tetapi dengan tertubuhnya muzium filateli itu nanti, mereka juga akan terus mengongsikan maklumat-maklumat mengenai faedah koleksi setem yang mempunyai nilai tinggi semakin lama ia disimpan.

“Menurut Persekutuan Filatelik Antarabangsa, nilai setem akan naik 10 kali ganda bagi setiap selama 10 tahun dan kebanyakan penggemar-penggemar koleksi setem luar negara sanggup membelinya dengan puluhan ribu ringgit,” tambahnya.

Dengan tertubuhnya muzium itu nanti, ujar beliau lagi, mereka juga akan menilai setem-setem lama yang diserahkan kepada mereka untuk dipamerkan sebelum menetapkan harganya.

Setakat ini, Persatuan Filatelik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, bergiat aktif menyokong filateli dalam negara dan mereka juga aktif menyertai pameran-pameran yang diadakan di luar negara seperti Singapura, Macau, Hong Kong dan sebagainya.

Awang Bakar juga merupakan individu yang bergiat aktif dalam hobi koleksi setem sejak beliau kecil lagi dan telah menyimpan ribuan setem lama dan baru. Menurutnya, beliau pernah menjual koleksi setem lamanya dengan harga lebih $20,000. Beliau berharap dengan tertubuhnya muzium itu nanti, mereka akan dapat menyemai rasa cinta kepada hobi koleksi setem kerana nilai sejarah, kecantikannya dan sebagainya.