Muzium KB dibuka 23 Julai ini

Muzium KB dibuka 23 Julai ini

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Jabatan Muzium-muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menyediakan sebuah lagi muzium, kali ini di Daerah Belait yang akan dibukakan untuk kunjungan orang ramai mulai 23 Julai ini.

Terletak di Jalan Maulana, Kuala Belait, muzium berkenaan diberi nama Muzium Daerah Belait’ sesuai dengan konsep muzium yang pada asasnya untuk melindungi dan memelihara warisan Daerah Belait bagi menggalakkan pendidikan serta merangsang minat, cinta dan menghargai warisan negara umumnya.

KKBS dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa Muzium Daerah Belait menggunakan bangunan bekas kediaman rasmi Penolong Residen Britis dan kemudiannya Pegawai Daerah Belait dari tahun 1938 hingga 1990.

Bangunan itu diwartakan dalam tahun 2006 di bawah Akta Barang-Barang Purbakala, 1967 edisi semakan 1984, 1991 dan 2002 yang bermakna bangunan itu mempunyai nilai sejarah dan usianya yang melebihi 50 tahun.

Menurut kenyataan itu lagi, muzium berkenaan akan mempunyai empat galeri pameran kekal dan sebuah galeri untuk pameran khas secara sementara. Galeri-galeri tersebut akan memperkenalkan pengunjung kepada warisan budaya, sejarah pentadbiran dan perkembangan Daerah Belait, sejarah industri minyak dan gas, serta hidupan liar yang lazim ditemui di daerah berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA