MWNBD adakan Majlis Pembukaan Tadarus

MWNBD adakan Majlis Pembukaan Tadarus

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Dalam menyemarakkan lagi suasana bulan Ramadan yang bermula hari ini bagi umat Islam di negara ini, Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Pembukaan Tadarus bagi ahli Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD).

Majlis yang diadakan di kediaman Naib Yang Di-Pertua I Majlis Wanita, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat itu dihadiri oleh lebih 100 orang ahli daripada 13 buah persatuan yang bergabung dengan Majlis Wanita NDB.

Turut hadir di majlis itu ialah Yang Di-Pertua dan Naib Yang Di-Pertua MWNBD, Yang Di-Pertua persatuan-persatuan yang bergabung dengan MWNBD dan wakil tetap semua persatuan serta ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung Manggis.

Penganjuran majlis tadarus yang akan diadakan sepanjang bulan Ramadan ini antara lain bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran selain meningkatkan hubungan silaturahim dalam kalangan semua ahli persatuan yang bergabung dengan MWNBD.

Ketika ditemui di majlis itu, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam menjelaskan mengenai perkembangan MWNBD, yang menurutnya akan menyertai Persidangan ASEAN Civil Society pada Ogos ini.

Ahli MWNDB yang menyertai Majlis Tadarus tersebut semalam.
Ahli MWNDB yang menyertai Majlis Tadarus tersebut semalam.

Menurutnya lagi, beliau selaku Jawatankuasa Pandu Serantau (Regional Steering Committee) akan mewakili MWNBD pada persidangan yang akan diadakan di Timor Leste pada 2 hingga 8 Ogos 2016 ini.

“Beberapa orang ahli yang bergabung di bawah Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam akan menghadiri persidangan itu nanti yang mana antara lain tujuan persidangan ini adalah untuk membincangkan isu semasa berhubung dengan ASEAN,” tambahnya.

Katanya lagi, selain aktif menyertai dalam aktiviti di luar negara, ahli-ahli MWNBD juga aktif menyertai dalam beberapa aktiviti dalam negara yang antaranya Majlis Bersama Rakyat dan merayakan sambutan Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

MWNBD juga akan bergabung dengan tiga buah persatuan seperti tahun lalu iaitu Pekerti, Brunei Shell Ladies, Penjuru dan 13 Persatuan Majlis Wanita lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA