Myanmar banteras askar kanak-kanak

Myanmar banteras askar kanak-kanak

YANGON, 3 Okt – Tentera Myanmar sudah membebaskan 101 askar kanak-kanak tahun ini, meningkatkan jumlah keseluruhan askar kanak-kanak yang diselamatkan kepada 800 semenjak 2012, pihak berkuasa mengatakan hari ini.

Negara itu menandatangani pelan tindakan bersama dengan PBB untuk menamatkan dan mencegah penggunaan dan perekrutan askar kanak-kanak dalam 2012.

Kanak-kanak yang bebas akan memperoleh faedah daripada program pengintegrasian sosial ekonomi termasuklah akses kepada pendidikan, latihan vokasional, kegiatan menjana pendapatan untuk memulakan kehidupan mereka.

Dan dalam masa yang sama, pihak berkuasa tentera Myanmar baru-baru ini juga menghukum 382 orang kakitangan tentera termasuk 73 orang pegawai yang merekrut askar kanak-kanak.

Memuji langkah yang diambil Myanmar, Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) mengatakan Pasukan Petugas Negara PBB mengenai Pemantauan dan Pelaporan (CTFMR) bagi Pencabulan Besar ke atas Kanak-kanak akan terus bekerjasama dengan Myanmar untuk menamatkan sepenuhnya pembabitan kanak-kanak di bawah umur dalam konflik bersenjata.

Tentera Myanmar baru-baru ini turut mengkaji semula pelan tindakannya, mengesahkan kemajuan yang dicapai setakat ini dan mendefinisikan langkah-langkah penting lain bagi mengukuhkan pandangan keseluruhan dalam proses rekrut bagi mencegah perekrutan bawah umur.

Mereka juga dapat menumpukan ke atas kebertanggungjawaban pelaku awam atau tentera bagi perekrutan bawah umur, meningkatkan perlindungan dalam undang-undang dan latihan lanjutan bagi kakitangan tentera.

Di bawah penyelarasan Kementerian Bantuan Kebajikan Sosial dan Penempatan, pelbagai rakan kongsi akan menyediakan sokongan segera bagi pengintegrasian kanak-kanak ini, dengan penekanan ke atas akses pendidikan dan latihan vokasional serta kegiatan menjana pendapatan.

Kementerian Pendidikan Myanmar juga sudah berusaha semenjak 2014 untuk memastikan kanak-kanak yang dilepaskan dari angkatan bersenjata boleh memasuki sekolah tanpa sebarang penangguhan. Xinhua