Myanmar bebaskan askar kanak-kanak

Myanmar bebaskan askar kanak-kanak

YANGON, 5 Jun (AFP) – Myanmar telah membebaskan 51 orang muda dari pasukan bersenjatanya, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam langkah terbaru negara itu ke arah menamatkan penggunaan tentera kanak-kanak.

Kerajaan reformis negara yang sebelumnya ditadbir oleh pihak junta ini komited untuk menamatkan pengrekrutan dan penggunaan kanak-kanak dalam tenteranya ‘tatmadaw; dalam perjanjian Jun 2012 dengan PBB. Sejumlah 646 orang kanak-kanak sejak itu telah dibebaskan oleh tentera, PBB berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

“Kami menyambut baik pelepasan rasmi kanak-kanak, yang termasuklah mereka yang dituduh meninggalkan tugas – dan kerana tidak menghukum mereka,” kata Renata Lok-Dessaillien, penyelaras menetap PBB di Myanmar, dengan menambah kata mereka seharusnya tidak dalam tentera sejak mula lagi. Tidak ada perangkaan boleh ditentusahkan tentang berapa ramai kanak-kanak yang pada masa ini berkhidmat dalam ketenteraan besar Myanmar, yang telah berdepan banyak tuduhan berhubung pencabulan hak asasi, termasuklah pengrekrutan paksa kanak-kanak untuk bekerja sebagai pengangkat barang atau malah pengesan periuk api.

Kumpulan paling terbaru seramai 51 orang yang dilepaskan menjadikan jumlah bilangan kanak-kanak yang dilepaskan dari tentera tahun ini kepada 93 orang.

Kenyataan PBB mengatakan kesemua anak-anak muda yang dilepaskan berusia di bawah 18 tahun pada ketika perjanjian ditandatangani pada Jun 2012. Selain tentera, PBB berkata kira-kira tujuh kumpulan pemberontak di Myanmar diketahui merekrut tentera kanak-kanak.

ARTIKEL YANG SAMA