Myanmar benam Brunei 1-2

Myanmar benam Brunei 1-2

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Brunei Darussalam bermain lebih baik pada separuh masa kedua sehingga berjaya menjaringkan satu gol, namun masih belum cukup untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dan terpaksa akur tewas tipis 1-2 kepada Myanmar.

Skuad Tabuan B-14 dikejutkan dengan gol seawal minit ke-6 hasil ledakan kencang Pyae Phyo Aung, yang kebetulan merupakan percubaan pertama Myanmar ke gawang pasukan tuan rumah.

Lapan minit kemudian, Pyae Phyo Aung mendapati dirinya hanya berdepan dengan Mohd Bil Muhtadin Yusrin bin Abu Bakar di gawang Brunei Darussalam dan dia dengan tenang menendang bola ke sebelah kanan gawang untuk catatan gol kedua peribadi dan pasukannya.

Brunei Darussalam bermain lebih baik di penghujung babak pertama sehingga nyaris membuahkan gol apabila Mohd Nur Salikin Mustanir bin Awang Haji Abas berjaya lolos ke sayap kanan sebelum membuat hantaran lintang rendah kepada Mohd Ishyra Aqimin bin Mohd Jabidi di dalam petak, hanya untuk Mohd Ishyra Aqimin gagal menendang bola yang melintas di depannya ketika penjaga gol Myanmar, Hein Htet Aung sudah tertewas.

Bermula separuh masa kedua, Brunei Darussalam berjaya mengimbangi perlawanan dan mula lebih banyak menguasai bola yang akhirnya menghadiahkan gol buat mereka hasil kesilapan penjaga gol Myanmar, Nay Lin Htet.

Antara aksi perlawanan pembukaan rasmi antara Brunei Darussalam dengan Myanmar. Mohd Aimanuddin (Jersi 10 kuning) menjaringkan gol tunggal Tabuan B-14 dalam perlawanan ini.
Antara aksi perlawanan pembukaan rasmi antara Brunei Darussalam dengan Myanmar. Mohd Aimanuddin (Jersi 10 kuning) menjaringkan gol tunggal Tabuan B-14 dalam perlawanan ini.

Mohd Aimanuddin bin Haji Masri menghukum kesilapan itu dengan tindakan pantas meluru bola muntah itu berbanding pertahanan Myanmar dan dia mudah menendang bola masuk untuk mencantas pendahuluan Myanmar kepada hanya satu gol pada minit ke-37.

Mohd Aimanuddin terus menguji pertahanan Myanmar yang kelihatan sukar mengawal pergerakannya sehinggakan beberapa minit sebelum perlawanan tamat dia berjaya melakukan hantaran terus kepada Imam Mahdi bin Suhaimi yang berdiri berhampiran kawasan tengah garisan petak D lawan.

Imam Mahdi yang tidak dikawal berjaya mengawal bola itu dan terus berputar menghadap gawang lawan dan melakukan rembatan namun berjaya ditepis Nay Lin Htet bagi sepakan sudut Brunei Darussalam.

Lawan seterusnya bagi Brunei Darussalam ialah menentang Singapura esok, Rabu, 27 Julai, pada pukul 5 petang di Kompleks Sukan Berakas. Sementara Myanmar akan menentang Vietnam pada pukul 7:30 pagi di tempat yang sama.

Sementara itu dalam aksi dua perlawanan di sebelah pagi Festival Bolasepak B-14 Serantau AFC 2016 hari ini menyaksikan pasukan yang terlebih dulu menjaringkan gol mengalami kekalahan.

Lebih menarik lagi, kedua-dua perlawanan menyaksikan dua gol berjaya dihasilkan pada lima minit terakhir dan masa kecederaan perlawanan yang sekaligus memberikan kemenangan kepada pasukan yang ketinggalan lebih awal.

Di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), Thailand bangkit daripada ketinggalan 0-1 sebelum menang 2-1, manakala di Kompleks Sukan Berakas (KSB), Kemboja bangkit daripada ketinggalan 0-1 sebelum menang 3-1.

Aksi di Padang & Balapan, KSNHB tidak menyaksikan sebarang gol dijaringkan pada separuh masa pertama. Vietnam menerajui perlawanan 1-0 pada minit ke-48 iaitu lapan belas minit selepas rehat, hasil jaringan Nguyen Duc Trung.

Namun Thailand berjaya menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian hasil rembatan Kittipat Pangkham, sementara gol kemenangan Thailand hadir dua minit selepas masa sebenar perlawanan tamat yang disumbangkan oleh Punnawat Chote-Jirachaithon.

Di KSB pula menyaksikan Filipina mendahului 1-0 selepas Dela Cruz Vin Joel Elizaga berjaya menggegar gawang Kemboja seminit sebelum babak pertama berakhir.

Kemboja bangkit dengan ledakan tiga gol pada babak kedua bermula dengan jaringan Bunthoeun Bunnarong hanya tiga minit selepas rehat, disusuli jaringan Ry Leap Pheng ketika perlawanan berbaki tiga minit dan ketika perlawanan disangka berakhir 2-1, Bunthoen Bunnarong masih sempat meledakkan gol kedua peribadinya pada minit ke-60.

ARTIKEL YANG SAMA