Myanmar bicarakan dua wartawan minggu ini

BANGKOK, 9 Jan – Myanmar dijangka membicarakan dua wartawan dari agensi berita Reuters minggu ini selepas mereka didakwa di bawah akta rahsia era kolonial, dalam satu kes yang menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan media di negara itu.

Wa Lone dan Kyaw Soe Oo ditahan pada 12 Disember kerana didakwa mendapatkan ‘dokumen rahsia penting’ daripada dua pegawai polis yang bekerja di negeri Rakhine di mana tentera Myanmar dipersalahkan secara meluas kerana menganiayai dan mengusir beratus-ratus ribu Muslim Rohingya ke negara jiran Bangladesh.

Tuduhan ke atas kedua-duanya boleh dikenakan hukuman sehingga 14 tahun penjara.

Kumpulan hak asasi dan media mengkritik kerajaan awam baru Myanmar diketuai pemenang Anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi kerana terus menggunakan undang-undang era kolonial bagi mengancam dan memenjarakan wartawan. Undang-undang seumpamanya digunakan secara meluas oleh junta yang sebelumnya memerintah negara itu untuk mendiamkan pengkritik dan media.

Di bawah kerajaan semasa, sekurang-kurangnya 32 wartawan sudah pun didakwa, kebanyakannya di bawah undang-undang era kolonial, menurut sebuah kumpulan tempatan, We Support Journalist.

Gambar fail Wa Lone dan Kyaw Soe Oo. – AP

“Penangkapan dan undang-undang sebegitu digunakan secara meluas oleh junta untuk mendiamkan kami,” kata pengasas kumpulan, Maung Saungkha, melalui telefon.

“Namun agak sedih melihat kebebasan media malah lebih teruk di bawah kerajaan yang dikatakan dipilih secara demokratik.”

Penangkapan dua wartawan Myanmar itu yang perbicaraannya bermula Rabu, turut menerima kecaman antarabangsa. Selepas mereka ditahan, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengatakan penangkapan menunjukkan betapa kebebasan media semakin teruk di Myanmar, manakala Setiausaha Negara AS Rex Tillerson menyeru bagi pembebasan segera. – AP