Myanmar bina kemudahan tentera di Rakhine

YANGON, 12 Mac – Kerajaan Myanmar memasang kemudahan keselamatan di perkampungan Rohingya yang musnah dalam kebakaran, menurut dakwaan Amnesty International (Amnesty) hari ini, menimbulkan keraguan mengenai keikhlasan mereka untuk menerima kembali ratusan ribu pelarian.

Hampir 700,000 etnik Rohingya Islam meninggalkan Rakhine menuju ke Bangladesh sejak Myanmar melancarkan serangan balas terhadap pemberontak enam bulan lalu yang dianggap oleh Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu pembersihan etnik. Bagaimana pun, Myanmar menolak dakwaan itu dan berkata ia dilancarkan susulan dari serangan oleh Tentera Penyelamat Rohingya Arakan pada Ogos lalu.

Namun para pengkritik menuduh pihak tentera menggunakan serangan pemberontakan itu sebagai alasan untuk melancarkan ‘operasi pembersihan’ untuk menghalau etnik minoriti itu.

Laporan terbaharu Amnesty yang bertajuk ‘Pembinaan Semula Negeri Rakhine’, itu turut memaparkan imej satelit dan temu bual yang mendedahkan pembinaan pelbagai infrastruktur ketenteraan mulai awal tahun ini, yang didakwa pengkaji sebagai satu tindakan ‘merampas tanah’.

“Terdapat bukti baru seperti yang dilaporkan oleh Amnesty dalam hasil kajian terbaharunya, menunjukkan pihak berkuasa Myanmar membina kemudahan baharu di atas setiap tapak milik penduduk Rohingya,” kata pengarah tindak balas krisis Amnesty, Tirana Hassan kepada AFP.

“Dalam beberapa keadaan kediaman yang masih ada turut dimusnahkan,” tambahnya lagi.

Walaupun mengakui imej itu tidak menggambarkan keseluruhan keadaan di Rakhine, kumpulan hak asasi itu percaya struktur bagi kegunaan pasukan keselamatan, landasan untuk helikopter dan jalan raya terbabit dibina di atas tanah serta bangunan milik penduduk Rohingya yang musnah dalam kebakaran. – AFP