Myanmar hantar pulang 200 pelarian Bangladesh

Myanmar hantar pulang 200 pelarian Bangladesh

YANGON, Myanmar, 26 Mei (Agensi) – Myanmar akan menghantar pulang 200 pelarian Bangladesh ke tanah air mereka di bawah perjanjian di antara kedua-dua negara, lapor agensi berita Xinhua dengan memetik media rasmi.

Para pelarian terbabit kini berlindung di kem sementara di kampung Ale Thankyaw di Maungtaw di negeri barat Rakhine dan berasal dari Cox’s Bazar, Chittagong dan bahagian utara Dhaka.

Warga Bangladesh terbabit merancang untuk mencari pekerjaan di Thailand dan Malaysia. Lapan orang lagi pelarian adalah etnik Bengalis dari negeri Rakhine.

Tentera Laut Myanmar memintas dua kapal nelayan di perairan barat Maungtaw pada Khamis lepas dengan sebuah daripadanya membawa 208 orang penumpang dan sebuah lagi tanpa penumpang.

Penyiasatan oleh kerajaan Myanmar mendedahkan sejumlah pelarian menjadi mangsa rangkaian kumpulan pemerdagangan manusia dan sindiket jenayah selepas menerima tawaran kerja di Thailand dan Malaysia.

Pihak berkuasa Imigresen Myanmar baru-baru ini menghantar pulang 11 warga Bangladesh yang hanyut ke pantai berhampiran kampung Oodaung di Maungtaw selepas meninggalkan bot mereka ketika pelayaran ke Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA