Myanmar hapus dadah bernilai AS$60 juta

Myanmar hapus dadah bernilai AS$60 juta

YANGON, 26 Jun (AFP) – Polis Myanmar hari ini membakar dadah yang mempunyai nilai pasaran gelap hampir AS$60 juta ketika pihak berkuasa bergelut untuk menangani penanaman popi yang membinasakan dan menutup makmal pil di zon sempadan yang tidak berundang-undang.

Negara miskin itu kekal menjadi pengeluar kedua candu terbesar di dunia yang menghasilkan heroin, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Berdekad-dekad pemerintahan tentera yang korup dan perang saudara berterusan dengan pemberontak etnik telah disalahkan ke atas perdagangan dadah yang semakin bertambah-tambah.

Bagi menandakan hari antidadah tahunan PBB, dadah rampasan dan bahan kimia lain telah dibakar di tiga tempat di seluruh Myanmar.

Longgokan dadah yang dirampas telah dibakar selepas satu majlis menandakan ‘Hari Antarabangsa menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Haram’ di Yangon pada 26 Jun. – AFP
Longgokan dadah yang dirampas telah dibakar selepas satu majlis menandakan ‘Hari Antarabangsa menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Haram’ di Yangon pada 26 Jun. – AFP

Lebih separuh tan candu dan 80kg (176 paun) heroin telah dimusnahkan bersama dengan 768kg methamphetamine dan 10 juta pil perangsang lain, kata pegawai polis kepada AFP, menambah, rampasan itu bernilai sekitar AS$57 juta.

Pada satu majlis di bandar Naypyidaw, Naib Presiden Myint Swe mengakui perjuangan untuk membendung penghasilan dadah adalah masih jauh.

“Penduduk di kawasan luar bandar yang terpencil telah menyeludup dadah dan menanam popi untuk menyara kehidupan,” katanya menggesa pembangunan bagi kawasan sempadan yang miskin dan dilanda konflik.

“Sebaik saja kita membangun dan berjaya dalam proses perdamaian tempatan, proses kawalan dadah kita akan diperkukuhkan lagi.”