Myanmar jadikan Mergui destinasi pelancongan baru

Myanmar jadikan Mergui destinasi pelancongan baru

YANGON, 25 Mei (dpa) – Myanmar akan memberikan lampu hijau kepada hotel baru di selatan gugusan kepulauannya pada akhir tahun, kata pegawai.

Gugusan Kepulauan Mergui terdiri daripada 800 buah pulau di Laut Andaman, di luar pantai benua.

“Rantau tersebut mempunyai banyak potensi untuk menjadi destinasi pelancongan baru kerana kebanyakan pulau di sana adalah asli dan mempunyai terumbu karang,” kata Sai Kyaw Ohn, timbalan menteri hotel dan pelancongan.

“Kami berharap ia boleh menarik ekopelancongan dan para penyelam.”

Kira-kira 27 buah syarikat tempatan dan usaha sama sedang menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Pelaburan Myanmar (MIC) untuk projek hotel dan tempat peranginan baru di pulau berkenaan, kata beliau.

“Kami berharap MIC akan membenarkan kesemua 27 buah firma menubuhkan hotel dan tempat peranginan pada Disember,” kata beliau.

Dua usaha sama telahpun diberikan kebenaran untuk membina tempat peranginan di pulau itu.

Pembangunan berkenaan akan melihat lima hotel dan motel dengan 196 buah bilik dibina.

Di antara penghuni Gugusan Kepulauan Mergui adalah kira-kira 2,000 “gipsi laut,” dikenali sebagai Salons di Myanmar dan Moken di dunia, penduduk minoriti etnik yang tinggal dalam bot dan dipercayai telah berhijrah ke sana dari selatan China kira-kira 4,000 tahun lalu.

Gugusan kepulauan itu hanya dibuka kepada warga asing pada tahun 1996.

Pada tahun lalu, hanya 2,612 pelancong melawat pulau tersebut, menurut data daripada kementerian hotel dan pelancongan.

Kumpulan alam sekitar telah meminta kerajaan supaya menubuhkan dan mematuhi garis panduan alam sekitar, walaupun mereka mengiktiraf faedah pembangunan untuk kawasan tersebut.

“Projek tersebut akan memusnahkan kecantikan semula jadi dan cara hidup penduduk di kawasan itu jika pihak berkuasa dan pemaju tidak mengambil kira faktor alam sekitar,” kata Win Myo Thu, pengerusi NGO alam sekitar tempatan Ecodev.

ARTIKEL YANG SAMA