Myanmar lancar bursa saham

Myanmar lancar bursa saham

YANGON, 25 Mac (AFP) – Myanmar melancarkan bursa saham pertamanya dengan hanya menyenaraikan satu syarikat hari ini, dengan harapan langkah itu akan membantu meningkatkan ekonomi negara tersebut ketika ia dibentuk setelah berdekad-dekad dalam pemerintahan tentera yang menyokong dasar pemencilan.

Negara Asia Tenggara itu berada di tengah-tengah peralihan dramatik akibat kemunduran yang dicemari rasuah kepada ekonomi baru muncul yang lebih bertenaga, dengan beberapa hari parti Aung San Suu Kyi akan membentuk kerajaan awam.

Bursa Saham Yangon (YSX) secara rasminya dibuka bagi dagangan, 20 tahun selepas ia pertama kali dibentuk, dengan bunyi loceng dan sorakan daripada elit perniagaan yang sudah lama menantikan pelaburan.

Ketua Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Myanmar, Maung Maung Thein mengatakan ia menandakan ‘hari terbesar’ bagi negara, yang akan meninggalkan kelab negara-negara kecil tanpa bursa saham berfungsi.

“Kami kini boleh berbangga dan mengumumkan kepada dunia bahawa kami tidak lagi sebuah negara yang mundur,” ujarnya kepada kalangan ahli pemimpin perdagangan di bangunan era kolonial yang dipulihkan semula di perbandaran Yangon.

Serge Pun dari FMI bercakap kepada para wartawan di YSX di Yangon, Myanmar semalam. – Reuters
Serge Pun dari FMI bercakap kepada para wartawan di YSX di Yangon, Myanmar semalam. – Reuters

Kerajaan baru Suu Kyi minggu depan akan menggantikan pentadbiran peralihan jeneral-jeneral yang bersara yang menyelia reformasi ekonomi dan politik selama lima tahun yang menghidupkan semula negara kaya sumber dengan penduduknya sekitar 51 juta orang.

YSX memulakan dagangan dengan hanya satu firma tunggal, First Myanmar Investment (FMI), yang merupakan salah sebuah syarikat terbesar negara itu dengan saham dalam industri penerbangan dan kesihatan.

Dengan firmanya lain, Yoma Strategic Holdings disenaraikan di Singapura, dengan kira-kira 6,800 pemegang saham menerusi sistem dalaman, FMI sudah mempunyai pengalaman dalam dagangan saham, sesuatu yang jarang berlaku di Myanmar.

Saham mula dagangan pada harga asas sebanyak 26,000 kyat (AS$21.50) hari ini.

Beberapa firma-firma lain yang sudah diluluskan, termasuk Thilawa Special Economic Zone yang disokong Jepun, belum lagi memuktamadkan persediaan mereka.

Bursa saham itu pada masa ini hanya dibuka kepada firma-firma dan pelabur domestik, walaupun adanya rancangan untuk membenarkan penglibatan asing pada masa hadapan.

“Kami tidak sabar untuk mengapung ekonomi dan kami berharap untuk mengukuhkan Bursa Saham Yangon yang akan membantu banyak syarikat di Myanmar akses modal dan membina syarikat mereka,” kata taikun Myanmar, Serge Pun, yang menjalankan FMI, pada majlis perasmiannya.

ARTIKEL YANG SAMA