Myanmar lancar bursa saham

Myanmar lancar bursa saham

YANGON, 9 Dis – Myanmar melancarkan bursa saham ekuiti pertama hari ini dengan enam syarikat tempatan disenaraikan.

Beribu pejabat di bangunan bekas Bank Pusat Myanmar, Bursa Saham Yangon (YSX) ditubuhkan dengan pelaburan berjumlah kira-kira 24 juta dolar daripada rakan di Myanmar dan Jepun.

Sudah menjadi matlamat pihak berkuasa di Myanmar untuk menubuhkan sebuah bursa saham, sebagai ekonomi terbesar di Asia tanpa bursa sahamnya sendiri, menurut agensi berita kewangan Bloomberg.

Pelancaran itu menandakan satu lagi langkah dalam pembukaan negara selepas pemerintahan tentera berdekad-dekad lamanya dan lima tahun di bawah kerajaan yang disokong oleh tentera.

Bagaimanapun, perniagaan dalam saham tidak akan bermula dengan serta merta dan pelabur asing tidak dibenarkan berniaga lagi.

Ahli media ketika melaporkan mengenai majlis perasmian pusat Yangon Stock Exchange (Bursa Saham Yangon) di Yangon pada 9 Disember. – AFP
Ahli media ketika melaporkan mengenai majlis perasmian pusat Yangon Stock Exchange (Bursa Saham Yangon) di Yangon pada 9 Disember. – AFP

“Saya tidak fikir perniagaan akan bermula sehingga Mac tahun depan,” kata Timbalan Menteri Kewangan Maung Maung Thein.

“Walaupun apabila syarikat tempatan bersedia untuk menjual saham, pelabur asing tidak akan dibenarkan untuk membeli atau menjualnya,” beritahunya kepada wartawan.

“Sektor lain seperti telekomunikasi, kami mahu memberikan lebih banyak masa untuk syarikat milik tempatan untuk berkembang,” katanya.

First Myanmar Investment, First Private Bank, Great Forkham, MAPCO, Bank Rakyat Myanmar dan Syarikat Awam Thilawa Myanmar adalah enam syarikat pertama yang disenaraikan dalam bursa saham itu, kata Maung Maung Thein pada pembukaan rasmi.

Setiap syarikat perlu mempunyai 500 juta kyat dalam modal berbayar dan 100 pemegang saham minimum untuk disenaraikan.

Bursa Saham Tokyo dan Kumpulan Sekuriti Daiwa memegang 49 peratus saham dalam YSX, sementara Bank Ekonomi Myanmar memiliki 51 peratus.

Secara teknikal, YSX akan menjadi bursa saham kedua Myanmar selepas Pusat Tukaran Sekuriti Myanmar, yang ditubuhkan pada 1996, dan menjalankan perniagaan dua saham sahaja. –dpa