Myanmar lulus perjanjian mengenai keistimewaan, kekebalan ASEAN

Myanmar lulus perjanjian mengenai keistimewaan, kekebalan ASEAN

NAY PYI TAW, 7 Jun – Parlimen Myanmar telah pun meluluskan usul mengenai Perjanjian berhubung Hak Keistimewaan dan Kekebalan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber parlimen pada hari ini.

Menurut beberapa anggota Parlimen, Myanmar akan diiktiraf sebagai sebuah negara ASEAN yang patuh apabila mengesahkan perjanjian itu, dan diplomat Myanmar yang bertugas dalam Sekretariat ASEAN di Jakarta bakal diberi pengecualian dan keistimewaan ketika menjalankan tugas mereka dengan berkesan.

Perjanjian itu ditandatangani Menteri Luar negara anggota ASEAN, termasuk Myanmar, pada 25 Oktober 2009. – Bernama