Myanmar mohon bantuan antarabangsa

Myanmar mohon bantuan antarabangsa

YANGON, 4 Ogos (Reuters) – Myanmar berkata hari ini ia telah merayu bantuan antarabangsa untuk membantu menyediakan makanan, tempat perlindungan sementara dan pakaian untuk lebih daripada 210,000 orang yang terjejas oleh banjir ekoran hujan monsun lebat berminggu-minggu lamanya.

Sekurang-kurangnya 47 orang telah mati dalam banjir tersebut, menurut kerajaan.

Permintaan bantuan antarabangsa oleh Myanmar adalah bercanggahan dengan dasar yang diamalkannya apabila ia diperintah oleh jeneral. Junta menolak bantuan luar ekoran taufan pada 2008, apabila 130,000 orang terbunuh dalam bencana itu.

Sementara kerajaan separa awam, yang mengambil alih kuasa pada 2011 dan menghadapi pilihan raya pada November, sedang memimpin usaha bantuan, tetapi tentera mengendali operasi di darat.

“Kami sedang bekerjasama dan menjemput bantuan antarabangsa. Kami telah mula menghubungi pertubuhan dan negara penderma,” kata Ye Htut, Menteri Perhubungan dan jurucakap untuk Pejabat Presiden.

Keadaan penduduk setempat yang mengalami kesusahan akibat banjir. - AFP
Keadaan penduduk setempat yang mengalami kesusahan akibat banjir. – AFP

Beliau berkata bantuan antarabangsa juga diperlukan untuk menempatkan semula orang dan membina semula komuniti selepas air banjir surut. Dengan KDNK per kapita berjumlah $1,105, Myanmar adalah salah sebuah negara paling miskin di Asia Timur dan Pasifik.

Kedutaan China di Yangon mulai menyediakan bekalan bantuan kepada kawasan yang terjejas pada minggu ini.

Menteri berkata air banjir mulai surut di negeri Rakhine di pantai barat, yang mengalami salah satu banjir paling teruk setelah dilanda ekor Taufan Komen, yang mendarat di Bangladesh pada akhir minggu lalu.

Kawasan di timur laut ibu negeri Rakhine, Sittwe, termasuk Mrauk U dan Minbya, terjejas teruk.

Gambar video yang dirakam oleh Reuters semalam dengan menaiki helikopter tentera di Rakhine menunjukkan beratus orang bergegas mengharungi air banjir untuk mengumpul bekalan yang digugurkan dari udara.

Rakhine adalah tempat tinggal kepada kira-kira 140,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal, kebanyakan mereka penduduk Islam Rohingya yang tinggal dalam kem kotor di seluruh negeri.

ARTIKEL YANG SAMA