Myanmar nafi lakukan ‘pembersihan etnik’

GENEVA, 9 Mac – Seorang pegawai kanan Myanmar semalam menolak tuduhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa kerajaan mereka melakukan ‘pembersihan etnik’ terhadap kumpulan etnik minoriti Rohingya.

“Kami sering mendengar banyak tuduhan bahawa terdapat pembersihan etnik atau penghapusan kaum di Myanmar, ia bukanlah dasar kerajaan,” kata Penasihat Keselamatan Negara Myanmar, Thaung Tun, Menteri Kesatuan bagi Pejabat Kesatuan Kerajaan Myanmar memberitahu sidang akhbar di ibu pejabat Eropah PBB di Geneva.

“Apabila ada bukti yang jelas, kami akan pastikan tindakan akan diambil terhadap mereka yang melakukan apa saja jenayah atau mereka yang melakukan kekerasan hak asasi kemanusiaan,” tegasnya.

Pada hari Rabu, ketua hak asasi kemanusiaan PBB, Zeid Ra’ad Al Hussein meminta badan baharu yang ditugaskan untuk menyediakan dakwaan jenayah terhadap kekejaman yang dilakukan di Myanmar, setelah panel yang sama dibentuk bagi konflik di Syria.

Dalam laporan tahunannya kepada majlis itu, Zeid menyatakan kebimbangannya bahawa ‘perbuatan penghapusan kaum mungkin berlaku’ di tanah air Rohingya di negeri Rakhine.

Gambar fail pada 9 Oktober 2017 menunjukkan pelarian etnik Rohingya yang berjalan merentasi sungai Naf dari Myanmar menunjuk ke Bangladesh di Whaikhyang. Seorang pegawai kanan Myanmar Khamis lalu menolak tuduhan PBB bahawa kerajaan mereka melakukan ‘pembersihan etnik’ terhadap etnik berkenaan. – AFP

Dianggarkan 700,000 Rohingya telah melarikan diri ke sempadan ke Bangladesh sejak serangan tentera dilancarkan di Rakhine pada bulan Ogos lalu.

Myanmar menyalahkan militan Rohingya yang melancarkan serangan pada 25 Ogos lalu terhadap ke atas pos keselamatan di Rakhine yang mencetuskan tindakan keras oleh anggota tentera.

PBB dan Amerika Syarikat menyatakan tindak balas pasukan keselamatan Myanmar itu adalah ‘pembersihan etnik’. Hampir 700,000 Rohingya telah melarikan diri dari Rakhine sejak itu.

Thaung Tun berkata bahawa majoriti umat Islam di bahagian negara Myanmar masih berada di sana.

Tambahnya lagi, sekiranya berlaku percubaan penghapusan kaum maka mereka pasti akan melarikan diri ke rantau ini. – AFP