Myanmar rangka proses damai

Myanmar rangka proses damai

YANGON, 10 Sept – Presiden Myanmar Thein Sein bertemu perunding perdamaian pemberontak etnik untuk kali pertama di ibu negara Naypyidaw semalam dalam usaha untuk mencapai gencatan senjata yang lama dinanti-nantikan sebelum pilihan raya November ini.

Rundingan lebih dua tahun untuk menamatkan perang saudara selama beberapa dekad di sempadan Myanmar telah menyaksikan kerajaan mengumpulkan pemberontak etnik minoriti dan tentera untuk merangka satu rangka kerja proses damai.

Namun sementara rundingan telah menghasilkan satu dokumen gencatan senjata – dilihat sebagai langkah pertama bersejarah dalam proses damai – mereka telah menemui kebuntuan disebabkan kesangsian dan percanggahan mengenai puak pemberontak yang mana satu yang harus dibenarkan untuk menandatangani perjanjian tersebut.

Pemerhati berkata Thein Sein tidak sabar-sabar untuk menandatangani perjanjian pelucutan senjata dan memperkukuhkan peninggalannya sebagai pendamai sebelum pilihan raya pada 8 November, yang dijangka melakar semula landskap politik dengan jangkaan parti pembangkang pimpinan Aung San Suu Kyi memperoleh kemenangan besar.

Mesyuarat semalam berakhir tanpa sebarang perjanjian, namun perunding berkata proses mencatat kemajuan memandangkan Thein Sein menimbang memberi konsesi kepada kumpulan tambahan, ada di antaranya masih bertempur menentang tentera, yang kini boleh mengawasi pemeteraian perjanjian sekarang.

Seorang lelaki membawa anaknya ketika mendengar ucapan Suu Kyi semasa kempen pilihan raya umum Myanmar di Hpruso, semalam. – AFP
Seorang lelaki membawa anaknya ketika mendengar ucapan Suu Kyi semasa kempen pilihan raya umum Myanmar di Hpruso, semalam. – AFP

Beliau juga mengulangi satu jemputan untuk mempelawa kumpulan untuk menandatangani perjanjian pada minggu-minggu akan datang.

Kerajaan Myanmar telah bersetuju untuk membenarkan 15 kumpulan bersenjata etnik untuk memeterai perjanjian, namun ia telah menolak kira-kira setengah dozen persatuan yang dikemukakan oleh satu konsortium tentera minoriti etnik yang berusaha dimasukkan dalam gencatan senjata itu.

Sembilan pemimpin kumpulan pemberontak etnik utama hadir pada rundingan di Naypyidaw, termasuk cawangan politik Tentera Kemerdekaan Kachin – salah satu tentera pemberontak terbesar di negara ini. – AFP