Myanmar sasar 7 juta pelancong pada 2020

Myanmar sasar 7 juta pelancong pada 2020

YANGON, 4 Okt – Myanmar menyasarkan tujuh juta ketibaan pelancong pada tahun 2020, dan menyeru untuk bekerja dengan rasa bertanggungjawab dan akauntabiliti dalam pembangunan sektor pelancongan, lapor media rasmi hari ini.

Naib Presiden U Henry Van Thio semasa Hari Pelancongan Dunia berkata bahawa Myanmar telah menyaksikan sektor pelancongannya meningkat dari tahun ke tahun, menerima 4.6 juta pelawat pada tahun 2015, dan menjangkakan untuk mencapai 7 juta pada 2020.

Beliau mendedahkan bahawa Kementerian Pelancongan dan Perhotelan sedang melaksanakan projek-projek pembangunan pelancongan berasaskan komuniti sebagai satu inisiatif untuk kemajuan pelancongan di kawasan-kawasan di seluruh negara.

Kementerian itu juga membuat perancangan bagi pelancong-pelancong untuk menyaksikan tradisi dan adat resam orang-orang tempatan serta menikmati cara hidup etnik penduduk, katanya.

Hotel dan sektor pelancongan merupakan salah satu sektor yang dipromosikan oleh Myanmar yang dilindungi oleh Strategi Eksport Negara itu. Menurut angka kementerian, tiga juta pelancong telah memasukki ke negara itu sehingga Ogos tahun ini dengan menyasarkan 5 juta pelawat pada akhir tahun ini.

Pelaburan asing secara langsung dalam sektor itu telah mencapai AS$2.481 bilion sehingga bulan ini sejak lewat 1988 apabila negara itu membuka pintunya kepada dunia luar. – Xinhua