Myanmar selamatkan 700 penghijrah

Myanmar selamatkan 700 penghijrah

SITTWE, Myanmar, 3 Jun (AFP) – Lebih daripada 700 penghijrah ditemui hanyut dalam sebuah kapal nelayan enam hari lalu, diturunkan di negeri barat Rakhine, Myanmar hari ini ketika AS memberi amaran ia memantau nasib mereka ‘dengan lebih dekat.’

Sebelum mereka dipintasi, penghijrah itu menuju ke selatan ke arah Malaysia yang bersama Indonesia dan Thailand sudah menyaksikan 3,500 orang kelaparan tiba dalam masa beberapa minggu kebelakangan dalam krisis penghijrah yang tercetus selepas tindakan keras ke atas penyeludupan manusia.

Kebanyakan mereka adalah etnik minoriti Muslim Rohingya Myanmar yang melarikan diri daripada penganiayaan di Rakhine atau pendatang ekonomi dari negara jiran Bangladesh.

Kebanyakan 1.3 juta Rohingya Myanmar tidak mempunyai kewarganegaraan dan dianggap oleh kerajaan sebagai pendatang haram dari Bangladesh.

Tentera laut Myanmar sudah menemui beratus-ratus lagi penghijrah dalam perairannya dan tampak bertekad untuk mengusir mereka ke Bangladesh, meskipun pegawai di sana menolak penghantaran beramai-ramai melepasi sempadannya. Myanmar mengatakan 727 penumpang ditemui dalam sebuah kapal Jumaat lalu adalah ‘Bengalis’ –terma yang digunakannya untuk menerangkan mengenai Rohingya—dan pada awalnya mengancam untuk menghantar mereka menyeberangi sempadan sebelum tentera mengiringi mereka ke Rakhine.

Penghijrah yang ditemui di laut dalam kapal, membawa barangan mereka ketika mereka dipindahkan ke bandar Taung Pyo selepas mendarat berhampiran jeti Kanyin Chaung di luar bandar Maungdaw, utara negeri Rakhine. – Reuters
Penghijrah yang ditemui di laut dalam kapal, membawa barangan mereka ketika mereka dipindahkan ke bandar Taung Pyo selepas mendarat berhampiran jeti Kanyin Chaung di luar bandar Maungdaw, utara negeri Rakhine. – Reuters

“Mereka tiba pagi ini kira-kira jam 9.30 pagi di daerah Maungdaw,” seorang pegawai kerajaan tempatan yang enggan dikenali memberitahu AFP.

Pihak berkuasa merancang memindahkan mereka ke kampung berhampiran, Taungpyo Letwe yang hampir dengan sempadan Bangladesh, di mana sekumpulan 200 penghijrah sebelumnya diselamatkan di pesisir pantai Myanmar ditahan sementara kewarganegaraan mereka disahkan.

Seorang lagi pegawai yang enggan dinamakan di ibu negeri Sittwe, Rakhine mengatakan kumpulan 200 penghijrah akan dihantar ke Bangladesh dalam masa beberapa hari akan datang.

“Bangladesh bersetuju untuk menerima mereka hari ini,” kata pegawai itu.