Myanmar tandatangani perjanjian gencatan

Myanmar tandatangani perjanjian gencatan

YANGON, 15 Okt – Myanmar hari ini menandatangani gencatan senjata bersama lapan tentera etnik minoriti dalam langkah ke arah menamatkan perang saudara yang berdekad-dekad lamanya, satu langkah yang dilemahkan oleh keengganan beberapa kumpulan pemberontak lain untuk menyertai perjanjian itu.

Gencatan senjata adalah hasil dari rundingan lebih dua tahun dan adalah matlamat utama presiden reformis iaitu Presiden Thein Sein sebelum pilihan raya November, yang mungkin mengetepikan partinya yang disokong tentera dari berkuasa.

Dalam majlis penandatanganan yang disiarkan di televisyen di bandar terpencil Naypyidaw, Thein Sein berkata perjanjian itu akan ‘mewariskan keamanan’ kepada generasi akan datang.

Akhbar yang disokong kerajaan, Global New Light of Myanmar berkata perjanjian untuk mungkin menandakan ‘proses damai bebas yang akan menamatkan konflik saudara yang berusia lebih 60 tahun.”

Namun harapan bagi gencatan senjata penuh seluruh negara sebelum pilihan raya 8 November hancur baru-baru ini apabila beberapa buah kumpulan pemberontak menunjukkan keengganan terhadap sebarang perjanjian tanpa pemasukan semua pasukan pemberontak – terutamanya pertubuhan lebih kecil yang terlibat dalam konflik ini dengan tentera.

Presiden Myanmar Thein Sein (tengah) ketika menghadiri majlis penandatangan Persetujuan Gencatan Senjata Seluruh Negara (NCA) di Pusat Persidangan Antarabangsa Myanmar (MICC II) di Naypyidaw pada 15 Okt. – AFP
Presiden Myanmar Thein Sein (tengah) ketika menghadiri majlis penandatangan Persetujuan Gencatan Senjata Seluruh Negara (NCA) di Pusat Persidangan Antarabangsa Myanmar (MICC II) di Naypyidaw pada 15 Okt. – AFP

Ketua tentera berpengaruh Myanmar, dan wakil pemberontak yang mengenakan pakaian etnik menghadiri majlis penandatanganan itu, manakala wakil-wakil dari China, India, Kesatuan Eropah dan PBB adalah di antara yang turut menjadi saksi perjanjian tersebut.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Negara AS menyambut baik ‘langkah pertama penting’ itu dalam membina keamanan berdaya tahan, tetapi melahirkan kebimbangan berhubung pertempuran berterusan di negeri utara Kachin dan Shan.

Perjanjian itu membolehkan kumpulan-kumpulan yang terlibat untuk memulakan dialog politik dengan kerajaan – permintaan lama etnik minoriti yang menggesa bagi autonomi lebih besar.

Tetapi banyak bergantung pada tindakan tentera Myanmar yang bukan di bawah kawalan awam. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA