myDOF Valley tampil tarikan dunia perikanan

myDOF Valley tampil tarikan dunia perikanan

PUTRAJAYA, 27 Nov – Segmen myDOF Valley oleh Jabatan Perikanan menonjolkan 10 tarikan terbaharu dan unik berkaitan dunia perikanan di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 mulai Khamis depan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, antara tarikan di myDOF Valley ialah Rumah Nelayan Terbalik di mana semua perabot, tandas dan peralatan dapur rumah berkenaan berada dalam keadaan terbalik selain bilik yang dilengkapi dengan simulator vesel menangkap ikan.

“Kingdom of Sharks pula memberikan gambaran seolah-olah pengunjung berada dalam lautan dan dikelilingi ikan yu. Maklumat terperinci mengenai ikan yu turut disebarkan khususnya kepada golongan pelajar,” katanya selepas majlis prapelancaran myDOF Valley di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini. Aktiviti lain di myDOF Valley ialah pameran spesies ikan terbesar termasuk ikan kerapu kertang gergasi seberat 60 kilogram, pameran spesies ikan termahal seperti ikan empurau bernilai RM2,000 dan pameran ikan tuna.

MAHA 2016 yang bertemakan Makanan Kita, Masa Depan Kita akan diadakan di MAEPS Serdang mulai 1 hingga 11 Disember ini. – Bernama

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggunakan simulator rumah nelayan terbalik di Laman Perikanan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2016 ketika merasmikan tarikan baharu itu di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) kelmarin. – Bernama