Naasiruddeen bantu ITB benam Curtin

Naasiruddeen bantu ITB benam Curtin

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Naasiruddeen bin Abdul Wahab terus mempamerkan aksi cemerlang dalam Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil 2015 apabila mencipta hatrik pertama kejohanan ketika membantu ITB menewaskan Universiti Curtin Sarawak 5-2.

Hatrik pada perlawanan di Kompleks Sukan Berakas itu membawa jumlah jaringannya kepada lima gol daripada dua perlawanan selepas dia turut menghasilkan dua jaringan dalam kemenangan 6-1 ITB ke atas UNISSA pada malam pembukaan rasmi kejohanan baru-baru ini.

Jaringan pertama ITB hadir pada minit ketiga yang dihasilkan oleh Mohammad Mui’zuddin Shah bin Shabul Mashor, namun kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-26 selepas Tisalona Anak Joannes memanfaatkan peluang kealfaan pertahanan skuad ITB untuk meledakkan jaringan penyamaan.

Mohammad Naasiruddeen selaku ketua pasukan mengemudi pasukannya kembali di depan empat minit kemudian setelah berjaya memperdaya dua pertahanan lawan sebelum merembat kencang dari dalam petak yang melepasi jangkauan penjaga gol Universiti Curtin, Mohammad Izzat.

Naasiruddeen (35) memimpin ITB menuju dalam kemenangan 5-2 ke atas Universiti Curtin Sarawak.
Naasiruddeen (35) memimpin ITB menuju dalam kemenangan 5-2 ke atas Universiti Curtin Sarawak.

Menjelang rehat, ITB mendapat sepakan sudut yang darinya terhasil tandukan kencang pertahanan ITB, Awangku Muhamad Amirul Izzat bin Pengiran Haji Mohd Ariffin ke gawang Universiti Curtin untuk gol ketiga ITB sekali gus merubah kedudukan kepada 3-1 dengan sentuhan terakhir babak pertama.

Separuh masa kedua baru bermula lapan minit ketika Naasiruddeen menghasilkan gol kedua peribadinya untuk gol keempat ITB, dan kemudian melengkapkan hatriknya pada minit ke-78 bagi menambah pendahuluan ITB kepada 5-1.

Universiti Curtin cuba mengejar dan hasilnya Tisalona berjaya meledak gol kedua pada minit ke-82 bagi merapatkan kedudukan kepada 2-5, namun ia sekadar menjadi gol sagu hati sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Tiga mata mengukuhkan lagi cengkaman ITB di puncak Kumpulan A dengan enam mata, 11 jaringan dan tiga bolos, disusuli UBD dengan tiga mata dari satu perlawanan, sementara UNISSA, Politeknik Brunei dan Universiti Curtin belum meraih sebarang mata.

Aksi Kumpulan A akan diteruskan esok (Jumaat) dengan dua perlawanan iaitu UNISSA berdepan Politeknik Brunei di Kompleks Sukan RBRC bermula jam 4 petang dan UBD dengan Universiti Curtin di Stadium Negara, Hassanal Bolkiah, Berakas bermula jam 8:15 malam.

ARTIKEL YANG SAMA