Nabi Muhammad sebagai ikon umat Islam

Nabi Muhammad sebagai ikon umat Islam

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 31 Dis – Lebih 100 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria menghadiri majlis ceramah bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W 1437H/2015M yang berlangsung di Dewan Bandaran di sini hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Haji Ali bin Matyassin.

Penceramah Undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman dalam ceramahnya antara lain menekankan bahawa sewajarnya Rasulullah S.A.W menjadi ikon dan idola bagi setiap umat Islam.

Menurutnya, umat Islam bukan sahaja menghayati tetapi juga mengamalkan sunnah Rasulullah yang selari dengan maksud dalam Al-Quran dalam Surah Al Ahzab ayat 21 yang bermaksud; “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah S.W.T banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Haji Ali bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria semasa mendengarkan ceramah tersebut.
Haji Ali bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria semasa mendengarkan ceramah tersebut.
Dayang Norhayati ketika menyampaikan ceramah.
Dayang Norhayati ketika menyampaikan ceramah.

Dayang Norhayati seterusnya memetik sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud; “Sesungguhnya bukanlah aku diutus oleh Allah kecuali hanyalah kerana untuk menyempurnakan semulia-mulia akhlak”.

Katanya, penghayatan sunnah Baginda Rasulullah S.A.W janganlah bermusim, hanya pada setiap kali Sambutan Maulidur Rasul sahaja, dengan berselawat ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

“Sebaliknya ia hendaklah secara beristiqamah atau berterusan pada setiap detik dan setiap ketika, kita perlu menghayati kerana semulia-mulia akhlak itu adalah akhlak Rasulullah,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA