Nada positif Sturridge

Nada positif Sturridge

LONDON, 7 Mei (AFP) – Bintang serangan Liverpool, Daniel Sturridge menghantar mesej positif selepas menjalani pembedahan pinggul di Amerika Syarikat, semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu dibelenggu kecederaan sepanjang musim ini, mengalami kecederaan pinggul selepas sebelumnya berehat lima bulan kerana kecederaan paha.

Masalah semasa hadir pada awal April dan menjadi tamparan hebat buat Liverpool musim ini.

“Hanya mahu satu dunia tahu saya sudah berjaya menjalani pembedahan pinggul hari ini dan saya bersyukur kerana ia berjaya disempurnakan,” tulis Sturridge dalam Instagram.

Penyerang England itu hanya tampil 12 kali dalam kesebelasan utama dan enam penampilan sebagai pemain gantian buat Liverpool musim ini dengan hanya menjaringkan lima gol dan kini memulakan program pemulihan.

Sturridge berjaya menjalani pembedahan pinggul di Amerika Syarikat. – Reuters
Sturridge berjaya menjalani pembedahan pinggul di Amerika Syarikat. – Reuters

“Terima kasih kerana sokongan anda,” tulis Sturridge.

Semuanya jauh berbeza berbanding musim lalu apabila 24 gol sumbangan bekas penyerang Chelsea itu membantu Liverpool menghampiri kejuaraan pertama Inggeris sejak 1990 sebelum merudum dan sekadar muncul naib juara di belakang Manchester City.

Musim ini, penyerang Liverpool gagal menyerlah selepas ketiadaan Sturridge selain pemergian bintang serangan Luis Suarez ke kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Liverpool masih berharap untuk berakhir dalam kelompok empat teratas Liga Perdana dan tempat ke Liga Juara-Juara musim ini. Mereka empat mata di belakang pasukan tangga ketiga Manchester United dengan baki tiga perlawanan.