Nadal belum fikir bertemu Djokovic di Rome Masters

Nadal belum fikir bertemu Djokovic di Rome Masters

ROME, 11 Mei (AFP) – Rafael Nadal tetap berkeyakinan tinggi menjelang perlawanan pertamanya di Rome Masters di sebalik kekalahan separuh akhir di tangan Andy Murray di Madrid, minggu lalu.

Juara tujuh kali di Rome itu menegaskan tumpuannya kini terarah penuh kepada perlawanan pusingan kedua menentang Philipp Kohlschreiber, hari ini berbanding memandang lebih jauh iaitu kemungkinan aksi bertemu pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic di suku akhir.

“Saya tidak bermain menentang Novak, esok (hari ini). Saya akan bermain menentang (Philipp) Kohlschreiber. Dia bermain dengan hebat. Dia menang di Munich beberapa minggu lalu dan turut bermain di separuh akhir di Barcelona,” kata Nadal.

“Dia bermain dengan baik dan dia juga pemain yang baik di gelanggang tanah liat. Saya bimbang mengenainya ketika ini.”

Nadal yang diletakkan pilihan kelima di Rome meraih kejuaraan di Monte Carlo, bulan lalu dan Barcelona yang dianggap persiapan terbaik menjelang kejohanan Grand Slam gelanggang tanah liat, Terbuka Perancis.

Nadal menegaskan tumpuannya kini terarah penuh kepada perlawanan pusingan kedua menentang Philipp Kohlschreiber dan beliau tetap berkeyakinan tinggi menjelang perlawanan pertamanya di Rome Masters. – AFP
Nadal menegaskan tumpuannya kini terarah penuh kepada perlawanan pusingan kedua menentang Philipp Kohlschreiber dan beliau tetap berkeyakinan tinggi menjelang perlawanan pertamanya di Rome Masters. – AFP

“Permainan saya bagus, tiga kejohanan, dua kemenangan (Monte Carlo, Barcelona) dan satu separuh akhir. Kejohanan yang sukar, kemenangan yang baik, permainan yang baik. “Jika saya tidak gembira ketika ini, saya tidak tahu bila saya akan gembira,” katanya yang ditemui selepas sesi latihan pada kejohanan di gelanggang tanah liat itu.

Kohlschreiber sebelum ini hanya mempunyai satu rekod kemenangan ke atas Nadal namun di atas gelanggang rumput di Halle selain 13 kekalahan kepada jaguh tenis Sepanyol itu.

Pemain ranking 26 dunia dari Jerman itu sebelum ini menewaskan pemain Sepanyol, Inigo Cervantes 6-4, 6-2 pada pusingan pertama.

ARTIKEL YANG SAMA