Nadal berhempas pulas

Nadal berhempas pulas

HAMBURG, Jerman, 30 Julai (AFP) – Pilihan pertama Rafael Nadal, yang berusaha untuk kembali kepada tahap terbaiknya, bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan rakan senegara Fernando Verdasco 3-6, 6-1, 6-1 untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Hamburg semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 29 tahun dari Sepanyol itu, yang kini berada di anak tangga ke-10 ranking dunia selepas mencatat beberapa keputusan buruk, bermain teruk dalam set pertama namun pulih dan merampas set kedua sebelum mendapat mata break penting dalam set terakhir untuk mendahului 2-1.

Dia menyelamatkan kesemua empat mata break dalam set ketiga untuk akhirnya meraih kemenangan dan menempah pertemuan dengan sama ada Jiri Vesely atau Andreas Haider-Maurer.

Nadal, yang melalui tahun yang buruk untuk dirinya sehingga menyaksikan dia kehilangan gelaran Terbuka Perancis dan tersingkir di pusingan kedua Wimbledon, tampil di Hamburg kali pertama sejak memenangi kejohanan ini pada 2008 apabila mengalahkan musuh lamanya Roger Federer. Pada awal bulan ini, Nadal tersingkir pada pusingan kedua saingan Kejohanan Wimbledon selepas tumpas kepada pemain kelayakan daripada Jerman, Dustin Brown.

Nadal (kanan) menandatangani autograf selepas memenangi perlawanan menentang Verdasco di Kejohanan ATP di Hamburg, Jerman semalam. – AFP
Nadal (kanan) menandatangani autograf selepas memenangi perlawanan menentang Verdasco di Kejohanan ATP di Hamburg, Jerman semalam. – AFP

Juara tahun 2008 dan 2010 itu dikejutkan oleh pemain ranking 102 berkenaan dengan keputusan 7-5, 3-6, 6-4, 6-4. Ini adalah kali keempat pemain ini gagal pada saingan awal di kejohanan berprestij itu. Brown bakal bertemu pemain Serbia, Viktor Troicki pada saingan seterusnya.

“Saya kalah. Sudah tentu saya kecewa hari ini dengan kekalahan itu,” kata Nadal yang juga naib juara Kejohanan Wimbledon pada tahun 2006, 2007 dan 2011.

“Tapi inilah yang dinamakan sukan. Ada saat baik, ada saat sebaliknya. Sudah tentu ia saat tidak baik pada saya. Saya kena terima keputusan seperti ini. Saya sudah melaluinya sepanjang kerjaya saya.