Nadal bukan lagi tandingan Djokovic

Nadal bukan lagi tandingan Djokovic

PARIS, 4 Jun (AFP) – Novak Djokovic memusnahkan pertahanan kental Rafael Nadal di kejohanan Terbuka Perancis 7-5, 6-3, 6-1 pada perlawanan suku akhir mereka semalam dan mengatakan dia berada di tahap terbaik di sepanjang hidupnya.

Perlawanan itu merupakan pertembungan kali ke-44 mereka yang mana Djokovic masih mengejar di belakang Nadal dengan rekod kemenangan 21-23.

Pemain nombor satu dunia itu menewaskan juara bertahan buat pertama kali di Paris setelah kalah enam kali termasuk pada peringkat akhir 2012 dan 2014.

Kekalahan Nadal itu merupakan kekalahan keduanya dalam 72 perlawanan di Roland Garros dan kemenangan ke-27 berturut-turut bagi Djokovic.

“Semuanya menjadi dalam hidup saya ketika ini dan mungkin menghadapi puncak kerjaya saya. Saya seorang yang sempurna. Sangat berpuas hati sewaktu di gelanggang,” kata Djokovic, 28, yang telah berkahwin dan menjadi seorang bapa sejak 12 bulan lalu.

Djokovic (kiri) berjabat tangan dengan Nadal (kanan) setelah menang di peringkat suku akhir kejohanan Terbuka Perancis. – AFP
Djokovic (kiri) berjabat tangan dengan Nadal (kanan) setelah menang di peringkat suku akhir kejohanan Terbuka Perancis. – AFP

“Saya rasa semua itu mempengaruhi keputusan dan prestasi saya.”

Tahun ini, Djokovic menggasak rekod 40-2 kemenangan dan belum dikalahkan sejak Februari.

Sewaktu itu, dia telah menjulang kejohanan Terbuka Australia kelima nya dan juga menyapu semua gelaran master 1000 yang diikutinya di Indian Wells, Miami,k Monte Carlo dan Rome.

Cabaran Djokovic seterusnya adalah menentang pemain nombor tiga dunia Andy Murray untuk menempah tempat ke peringkat akhir hari Ahad, Djokovic akan mengejar kejohanan Terbuka Perancis pertamanya dan memenangi Grand Slam keseluruhan, yang hanya dilakukan oleh tujuh orang setakat ini.