Nadal dikejutkan pemain muda

Nadal dikejutkan pemain muda

NEW YORK, 5 Sept – Pemain muda dari Perancis Lucas Pouille mengejutkan juara 14 kali grand slam, Rafael Nadal untuk mara ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi.

Pemain 22 tahun itu bermula cemerlang dengan mendahului 2-1, dan bangkit di set penentuan selepas terkandas di set keempat untuk kemenangan 4 3-6 7-6(6) dalam perlawanan yang memakan masa empat jam menentang pemain ranking keempat dunia itu.

Pouille, yang masih memburu gelaran Jelajah ATP pertamanya, membuktikan yang kemaraannya ke suku akhir Wimbledon musim ini bukan kerana nasib.

“Ia adalah perlawanan pertama saya di gelanggang utama, menentang Rafa,” kata Pouille.

“Saya tidak dapat impikan sesuatu yang lebih baik daripada ini.”

Nadal bersalaman dengan Lucas Pouille pada akhir perlawanan tersebut. – AFP
Nadal bersalaman dengan Lucas Pouille pada akhir perlawanan tersebut. – AFP

Persaingan sengit itu berlanjutan hingga ke tie-break set kelima, di mana Pouille mendahului 4-1. Namun Nadal bangkit merapatkan jurang kepada 4-3.

Pouille kemudian menjarakkan diri kepada 6-3 tetapi Nadal tiga kali menafikan mata kemenangan buat lawan dari Perancis itu sebelum mengikat kedudukan kepada 6-6.

Jaguh tenis Sepanyol itu hampir meraih kemenangan untuk dirinya tetapi pukulannya tersangkut di jaring, dan Pouille memastikan peluang itu dimanfaatkan untuk melakukan kejutan besar dalam kariernya.

“Saya berjuang hingga ke akhir, sehingga ke bola terakhir,” kata Nadal. “Ia cukup sengit, tahniah buat pemenang.

“Dia bermain dengan melakukan keputusan lebih baik berbanding saya ketika mata-mata terakhir. Dia mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan ini jika terus berusaha.”

Pouille akan bertemu pilihan ke-10, rakan senegara Gael Monfils dalam kelompok lapan terakhir. Monfils mara dengan kemenangan 6-3, 6-2, 6-3 ke atas Marcos Baghdatis dari Cyprus. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA