Nadal, Ferrer tak hirau Zika

Nadal, Ferrer tak hirau Zika

RIO de JANEIRO, 18 Feb (AFP) – Penyebaran virus Zika yang telah menyebar ke lebih 20 negara telah menyebabkan kebimbangan di Brazil.

Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Menular Amerika CDC pun telah menyarankan untuk perempuan hamil agar tidak mengadakan perjalanan ke Brazil dan 21 negara di mana jangkitan berlaku.

Bagi bintang tenis sensasi Sepanyol Rafael Nadal dan David Ferrer menegaskan tidak bimbang dengan penularan virus Zika ketika mereka dalam persiapan menghadapi ATP Terbuka Rio, minggu ini.

“Saya tidak takut,” kata Nadal, 29, dalam sidang media.

“Walaupun saya keluar pada waktu malam dan menyedari mengenai risikonya, tetapi saya gembira kerana dapat kembali ke sini.

Nadal dan Ferrer menegaskan tidak bimbang mengenai penularan virus Zika ketika membuat persiapan menghadapi ATP Terbuka Rio – Reuters
Nadal dan Ferrer menegaskan tidak bimbang mengenai penularan virus Zika ketika membuat persiapan menghadapi ATP Terbuka Rio – Reuters

“Jika saya sakit, ia hanya kerana kurang bernasib baik,” tegas pemenang Grand Slam 14 kali itu.

“Saya lihat orang ramai di sini keluar seperti biasa menjalankan urusan masing-masing. Jadi saya fikir semuanya OK dan bukannya teruk sangat.

“Orang ramai pergi ke pantai, keluar bersiar-siar dan makan malam di restoran,” tambah pemain nombor lima dunia itu.

Ferrer, yang menduduki ranking keenam dunia pula berkata dia diberi jaminan oleh Brazil mengenai usaha mereka membasmi nyamuk yang membawa virus itu.

“Kami diberitahu segala usaha sudah dilakukan supaya tidak ada nyamuk,” katanya.

“Kami memakai seluar panjang pada waktu malam tetapi saya tidak terlalu bimbang mengenainya.”

Menjelang Olimpiade Rio de Janeiro 2016 yang diadakan nanti, Brazil kini berhadapan dengan penyebaran virus Zika.

Negara itu paling terjejas dengan wabak yang merebak dengan cepat di Amerika Latin dan Caribbean, apabila 1.5 juta rakyat negara ini sudah dijangkiti sejak awal tahun 2015.

Pejabat-pejabat Brazil telah mengumumkan langkah untuk mencegah penularan virus Zika.

Penyelenggara Olimpik sendiri akan menjalankan pemeriksaan di tempat-tempat yang akan digunakan dalam Olimpik tersebut setiap hari selama berlangsungnya pertandingan.

ARTIKEL YANG SAMA