Nadal hampir sertai Wawrinka

Nadal hampir sertai Wawrinka

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat, 17 Mac (Reuters) – Pilihan ketiga, Stan Wawrinka ‘dihantar pulang’ di pusingan kelompok 16 terbaik pada Indian Wells di California dan nyaris disertai Rafael Nadal yang menunjukkan kebangkitan menakjubkan untuk mara ke suku akhir.

Pilihan keempat yang juga juara tiga kali Indian Wells, bangkit daripada ketinggalan 5-2 pada set ketiga sebelum menewaskan prospek Jerman berusia 18 tahun, Alexandr Zverev dengan keputusan 6-7(8) 6-0 7-5.

Pemain tangan kidal itu bakal bertemu sama ada pilihan kelima dari Jepun, Kei Nishikori atau pemain Amerika, John Isner pada saingan suku akhir.

Wawrinka pula ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Belgium, David Goffin yang merakam kemenangan 6-3 5-7 7-6(5) pada aksi yang berlangsung selama dua jam setengah itu.

Ini adalah kali kedua Goffin menewaskan pemain yang berada di ranking 10 terbaik dunia dan membolehkan dia mara ke suku akhir ATP Masters 100 buat kali kedua.

Aksi Nadal ketika menentang Alexander dalam tiga set semasa hari kesepuluh Kejohanan Terbuka BNP Paribas di Indian Wells. – AFP
Aksi Nadal ketika menentang Alexander dalam tiga set semasa hari kesepuluh Kejohanan Terbuka BNP Paribas di Indian Wells. – AFP

Dia bakal menerima cabaran daripada pemain yang memiliki servis kuat, Marin Cilic yang menewaskan pemain Perancis, Richard Gasquet 7-5 5-7 6-2. “Ini kemenangan yang terbaik dalam karier saya,” kata Goffin.

“Saya berdepan sedikit masalah ketika melakukan servis terutama pada cara saya melambungkan bola. Sukar apabila terpaksa beraksi dalam cuaca yang terik dan panas.”

Selepas mematahkan tiga servis Wawrinka untuk memenangi set pertama, Goffin mendahului 5-3 pada set kedua dan ketiga, namun Wawrinka bangkit pada set kedua apabila pemain Belgium itu gagal mendapatkan mata pada servisnya membolehkan Wawrinka memenangi set kedua.

Bagaimanapun, ketika keputusan 5-5 pada tiebreak, Goffin berjaya mengesahkan kemenangan apabila pukulan kilas Goffin tersangkut di jaring.

Turut layak ke suku akhir adalah pemain Kanada, Milos Raonic yang menewaskan Tomas Berdych 6-4 7-6 (7).