Nadal mara ke suku akhir Terbuka Hamburg

Nadal mara ke suku akhir Terbuka Hamburg

HAMBURG, 31 Julai (AFP) – Rafael Nadal melangkah ke suku akhir Terbuka Hamburg semalam dengan kemenangan 6-4, 7-6 (7/2) ke atas Jiri Vesely dari Republik Czech ketika pemain Sepanyol cuba untuk memulihkan musimnya yang lesu.

Pilihan Mallorca itu yang beraksi di gelanggang tanah liat pada musim panas buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, akan menentang pilihan kelima Uruguay Pablo Cuevas, yang menundukkan Jerzy Janowicz dari Poland 6-3, 4-6, 6-2.

Nadal, juara 2008 di Hamburg, melanjutkan rekod tanah liat pada 2015 kepada 23-6 ketika cuba untuk menambah 46 gelaran gelanggang itu.

“Saya rasa saya beraksi dengan baik. Sesuatu yang membanggakan saya hari ini. Saya amat gembira dengan sikap saya dan gembira dengan cara saya bermain. Saya hanya perlu sedikit konsisten,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Nadal mengalami tahun yang sukar dan kehilangan gelaran Terbuka Perancis, tersingkir pada pusingan kedua Wimbledon dan menyaksikan ranking beliau merosot kepada tangga ke-10 atau kedudukan terendah dalam satu dekad.

Nadal membuat servis semasa menentang Jiri Vesely dari Republik Czech untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Hamburg semalam. – AFP
Nadal membuat servis semasa menentang Jiri Vesely dari Republik Czech untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Hamburg semalam. – AFP

Cuevas, semi finalis Hamburg 2009, mencatat kemenangan ke-23 musim ini selepas mengalahkan Janowicz dalam satu jam dan 34 minit. Dua puluh daripada kemenangan Cuevas pada 2015 diraih di gelanggang tanah liat.

Ia adalah pertemuan kedua musim ini untuk Nadal dan Cuevas selepas pemain Sepanyol itu menang dalam tiga set pada bulan Februari di Rio.

“Beliau adalah salah seorang pemain terbaik di dunia terutama di gelanggang tanah liat,” kata Nadal mengenai Cuevas. “Ia satu perlawanan yang besar dan saya tahu saya perlu bermain dengan baik jika mahu melangkah ke separuh akhir. Saya akan berusaha untuk itu.”

Pilihan keempat Andreas Seppi menewaskan peserta wildcard dari Jerman Florian Mayer 4-6, 6-2, 6-3 dan seterusnya berdepan rakan senegara Simone Bolelli, yang menundukkan Jaume Munar dari Sepanyol 6-1, 6-7 (5/7), 6-4.

Rabu lalu, Nadal bangkit memberi saingan sebelum mencatat kemenangan pusingan pertama 3-6 6-1 6-1 ke atas rakan senegaranya Fernando Verdasco pada aksi Terbuka Hamburg.

Pada set pertama, juara sembilan kali Terbuka Perancis itu tewas mengejut 3-6 kepada Verdasco namun mengubah corak permainan pada set kedua dan ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA