Nadal saman si mulut celupar

Nadal saman si mulut celupar

MADRID, 26 April – Pemain tenis nombor lima dunia, Rafael Nadal memfailkan saman ke atas bekas Menteri Sukan Perancis, Roselyne Bachelot di Paris selepas menuduhnya melindungi ujian doping yang gagal.

“Meneliti kes ini, saya bukan sekadar mempertahan integriti sendiri dan imej saya sebagai atlet tetapi juga mempertahankan nilai di sepanjang karier saya,” katanya dalam satu kenyataan mengumumkan ‘saman fitnah’ itu.

“Saya juga berharap untuk menghalang mana-mana individu yang dikenali ramai daripada membuat tuduhan salah dan menghina atlet menggunakan media, tanpa sebarang bukti atau alasan kukuh dan terselamat daripada dihukum.”

Bachelot, yang memegang jawatan Menteri Sukan antara 2007 hingga 2010 membuat kenyataan pada Mac di televisyen Perancis apabila ditanya mengenai juara lima kali Grand Slam, Maria Sharapova yang gagal dalam ujian doping pada Terbuka Australia.

Dia membuat dakwaan yang Nadal satu daripada atlet disayangi di Sepanyol – menipu terhadap kecederaannya pada 2012, apabila dia terlepas enam bulan terakhir musim itu susulan masalah lutut, bagi melindungi ujian doping yang positif.

Nadal menfailkan saman ke atas bekas menteri sukan Perancis atas tuduhan yang tidak berasas. – AFP
Nadal menfailkan saman ke atas bekas menteri sukan Perancis atas tuduhan yang tidak berasas. – AFP

Memberi maklum balas mengenai itu, Nadal memberitahu AFP pada bulan lalu yang dia akan menuntut ‘keadilan’ dan mahu menggunakan mahkamah sebagai jalan untuk menghalang spekulasi bahawa dia menggunakan bahan perangsang.

“Saya penat dengan semua ini. Saya membiarkannya beberapa kali pada masa lalu. Tidak lagi sekarang,” kata juara 14 kali Grand Slam di Indian Wells Masters.

Nadal tidak pernah gagal ujian doping sejak menyertai Jelajah ATP dan sering menentang sekeras-kerasnya penggunaan bahan perangsang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA