Nadal tekad bangkit musim depan

Nadal tekad bangkit musim depan

MANILA, 8 Dis – Selepas mengharungi musim terburuknya dalam dekad ini, bekas bintang tenis nombor satu dunia, Rafael Nadal yang mula mempamerkan peningkatan, berikrar akan bangkit untuk musim 2016.

Pemain berusia 29 tahun kelahiran Sepanyol itu dan kini menghuni ranking kelima dunia, mengisytiharkan dirinya cergas sepenuhnya untuk menghadapi saingan musim depan selepas menewaskan dua pemain yang menduduki ranking 10 terbaik dunia yang ditemuinya sejak Oktober lalu.

“Saya fikir jelas sekali tidak mempunyai musim yang baik sebelum ini, tetapi saya masih masih nombor lima dalam ranking dunia, jadi ia bukannya malapetaka besar kepada saya,” katanya kepada pemberita di Manila.

“Saya tidak tahu jika saya akan kembali merampas (ranking nombor satu dunia), (tetapi) saya bekerja keras untuk mencipta peluang untuk memberi persembahan terbaik dalam kejohanan utama.”

Rafael Nadal bertekad akan meningkatkan permainannya pada musim depan. - Reuters
Rafael Nadal bertekad akan meningkatkan permainannya pada musim depan. – Reuters

Nadal terpaksa melalui pembedahan untuk membuang apendiks pada akhir tahun 2014 selepas menghadapi beberapa kecederaan membabitkan lutut, hamstring dan sakit belakang.

Ranking Nadal menjunam ke kedudukan ke-10 awal tahun ini apabila penguasaannya dalam Terbuka Perancis berakhir selain tersingkir awal pada saingan Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat.

Tetapi pemain kidal, dengan 14 gelaran Grand Slam termasuk sembilan mahkota Terbuka Perancis, sejak dari itu menikmati kebangkitan prestasinya.

Dia menewaskan pemain bintang seperti Andy Murray, David Ferrer dan Stan Wawrinka dalam pertemuan kumpulan penutup Jelajah Dunia di London sebelum kecundang di tangan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic di separuh akhir. – AFP