Nadal tersingkir

Nadal tersingkir

SHANGHAI, 13 Okt – Rafael Nadal dilihat kecewa apabila tersingkir daripada Shanghai Masters sementara Nick Kyrgios ‘diejek’ pada perlawanan yang disifatkan sebagai aksi terburuk sepanjang kariernya.

Nadal tewas 6-3, 7-6 (7/3) seawal pusingan kedua di tangan Viktor Troicki sebentar tadi yang juga kekalahan pertamanya di tangan pemain Serbia itu yang membuktikan pemain Sepanyol berkenaan kini kian hilang sengatnya.

Penyokong China memberi sokongan kepada Nadal namun sebahagiannya menangis apabila juara Grand Slam 14 kali itu tersungkur.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun yang mengalami beberapa siri kecederaan itu berazam untuk kembali ke prestasi terbaiknya pada musim hadapan terutamanya dalam memperkemas pukulan kilas dan pergerakannya.

“Saya tahu apa yang perlu saya lakukan dan itulah apa yang akan saya lakukan,” kata Nadal yang jatuh ke tangga kelima selepas melalui musim hambar.

Reaksi Nadal selepas tewas menentang Viktor pada Shanghai Masters di Shanghai. – AFP
Reaksi Nadal selepas tewas menentang Viktor pada Shanghai Masters di Shanghai. – AFP

“Saya masih ada dua bulan setengah sebelum musim baharu bermula dan tempoh itu akan saya manfaatkan untuk menjadikan saya lebih baik.”

Terdahulu, pemain Australia, Kyrgios berang kepada penyokong dan menegaskan ‘saya tidak berhutang apa-apa dengan mereka’ selepas dia ‘diejek’ di luar gelanggang pada aksi penuh emosi itu.

Pemain panas baran yang menduduki ranking ke-14 dunia itu diejek selepas bertengkar dengan pengadil serta mengakui tidak bermain dengan sepenuh hati sekali gus tewas 6-3, 6-1 di tangan pemain nombor 110 dunia dari Jerman, Mischa Zverev.

Dia kemudiannya turut mengakui ‘terlalu mengambil mudah’ apabila mudah berputus asa ketika mata penentuan termasuklah berjalan keluar ketika Zverev melakukan servis. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA