Nadal tewas lagi

Nadal tewas lagi

LONDON, 17 Jun (AFP) – Rafael Nadal mengalami kejutan tersingkir pada pusingan pertama acara pemanas badan Wimbledon di Queen’s Club selepas bintang Sepanyol itu tewas 6-3, 6-7 (6/8), 6-4 kepada Alexandr Dolgopolov dari Ukraine, semalam.

Kekalahan Nadal kepada pemain nombor 79 dunia itu adalah yang terbaru dalam senarai persembahan hambar Nadal yang semakin meningkat dalam kempen 2015.

Pemenang 14 kali Grand Slam itu juga tersingkir di Terbuka Perancis untuk kali kedua dalam kerjayanya gilang-gemilangnya apabila tewas kepada Novak Djokovic dalam aksi suku akhir di Paris.

Akibatnya, kedudukan Nadal menjunam kepada 10 – kedudukan paling rendah dalam sedekad – dan menuju Wimbledon yang akan berlangsung akhir bulan ini dengan persoalan baru tentang penurunan rentaknya di barat London.

Nadal cuba meremehkan kepentingan keputusan itu dengan berkata: “Ia satu kekalahan. Saya tidaklah bermain buruk sama sekali dan berjuang sehingga akhir. Permainan di atas rumput selalu seperti ini.

Reaksi Nadal ketika menentang Alexandr Dolgopolov di Queen’s Club semalam. – AFP
Reaksi Nadal ketika menentang Alexandr Dolgopolov di Queen’s Club semalam. – AFP

“Saya tidak selesa. Kadang-kadang hanya beberapa perkara yang membuat keputusan perlawanan dan saya tidak cukup bernasib baik hari ini. Saya mungkin tidak cukup agresif apabila mendapat break dalam set ketiga.”

Dolgopolov pula menambah: “Saya bermain dengan bagus di atas rumput. Saya suka melemahkan lawan dan menjadikannya tidak selesa untuk mereka.” Nadal, kembali ke Queen’s Club buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, tidak menjangka sebarang masalah dengan Dolgopolov selepas memenangi Terbuka Stuttgart minggu lepas – gelaran pertamanya di gelanggang rumpur sejak menjulang mahkota Wimbledon lima tahun yang lalu.