Nadeshiko fokus Rio 2016

Nadeshiko fokus Rio 2016

VANCOUVER, 7 Julai (AFP) – Jurulatih Jepun Norio Sasaki berkata, ‘Nadeshiko’ sekarang ini akan fokus menjelang kelayakan Sukan Olimpik 2016 selepas gagal mempertahankan Piala Dunia Wanita.

Jepun ketinggalan 0-4 pada 16 minit pertama di Vancouver sebelum tumpas 2-5 kepada Amerika Syarikat yang muncul juara buat kali ketiga selepas 1991 dan 1999.

Ia adalah perlawanan akhir ketiga dalam kejohanan besar antara kedua-dua pasukan dengan Jepun memenangi Piala Dunia 2011 menerusi penentuan penalti dan Amerika Syarikat pula menggondol emas Olimpik.

“Hanya dua pasukan dari Asia akan melayakkan diri ke Olimpik, jadi ia sangat sukar,” kata Sasaki yang mengakui bakal mendapat tentangan sengit dari Australia, Korea Selatan dan China, di mana kesemuanya sebelum ini berjaya mara ke pusingan kalah mati di Kanada.

Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan selepas menjadi pasukan Asia pertama muncul juara Piala Dunia pada 2011, Sasaki mengakui ia bukan episod penamat buat bola sepak Jepun.

“Kami akan bekerja keras untuk ke Rio dan juga Piala Asia Timur yang bakal diadakan kurang dari sebulan, jadi kami perlu memulakan persediaan bermula esok (semalam) dan kami harus mencabar diri sendiri,” kata Sasaki.