Nafi guna bom berangkai

Nafi guna bom berangkai

RIYADH, 11 Jan (AFP) – Pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi menyangkal tuduhan ia menggunakan bom berangkai dalam serangan ke atas Yaman.

Penafian itu dibuat selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon mengingatkan penggunaan senjata itu adalah satu jenayah perang.

Jurucakap pakatan itu Brigadier Jeneral Ahmed al-Assiri memberitahu AFP, pihaknya tidak menggunakan bom berangkai dalam serangan di Sanaa, ibu negara Yaman.

Dia mengulas laporan Human Rights Watch (HRW), kumpulan hak asasi manusia yang berpejabat di Amerika Syarikat.

HRW dalam laporannya memetik kenyataan penduduk Sanaa mengenai kesan serangan 6 Januari lalu yang menurutnya mempunyai persamaan dengan bom berangkai.

Ahmed berkata, pakatan itu sebelum ini mengaku menggunakan bom berangkai CBU-105 dalam serangan yang menyasarkan kenderaan pemberontak Houthi.

“Kini, mereka tidak mempunyai kenderaan dan kami tidak menggunakannya lagi,” katanya.

Dia juga menyifatkan laporan HRW sebagai lemah.

“Mereka tidak mengemukakan sebarang bukti,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan operasi mengebom Sanaa menyasarkan pelancar misil Scud.

“Anda tidak boleh menggunakan bom berangkai untuk mengebom pelancar Scud,” kata jurucakap itu.

Arab Saudi mengetuai pakatan Arab dalam melakukan serangan terhadap pemberontak Houthi sejak Mac lalu selepas kumpulan yang disokong Iran itu menawan kawasan daripada kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.