Nafi mansuh larangan akta rokok elektronik

Nafi mansuh larangan akta rokok elektronik

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kenyataan kononnya Brunei telah memansuhkan larangan akta rokok elektronik atau vape, seperti yang disebarkan secara meluas melalui media-media sosial di negara ini.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan kementerian ini tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Sehubungan itu, orang ramai adalah diperingatkan untuk tidak menyebarluaskan isu tersebut apatah lagi maklumat-maklumat yang bukan dari sumber yang sahih dan rasmi dari pihak berkuasa.

Kenyataan palsu yang disebar melalui media sosial di negara ini dengan tajuk ‘Brunei: Rokok Elektronik Terbukti Menyihatkan Kesihatan. Larangan Di Tarik Balik’ antara lain menyatakan bahawa “Brunei telah memansuhkan larangan akta rokok elektronik atau vape berkuatkuasa mulai 2 Ogos 2015. Ini adalah terbukti yang vape tidak membahayakan kesihatan. Peniaga atau pengguna, bolehlah mengimport atau eksport barangan tersebut….”

Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa larangan penggunaan rokok elektronik (e-cigarette) atau vape adalah termasuk di bawah Perintah Tembakau 2005.

Merokok di bawah Perintah Tembakau 2005 bermakna menyedut dan mengeluarkan asap tembakau atau sebarang bahan lain. Ini termasuklah juga memegang apa-apa jua produk tembakau yang menyala dan mengeluarkan asap.

Menyedut dan mengeluarkan wap haba dari rokok elektronik atau vape adalah terkandung dalam tafsiran merokok.

Jika seseorang itu didapati menggunakan rokok elektronik (e-cigarette) atau vaping di tempat-tempat yang dilarang merokok, boleh dikenakan denda kompaun di bawah Perintah Tembakau 2005 Bab 14(2) iaitu $300 bagi kesalahan pertama, dan $500 bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Manakala, menurut Perintah Tembakau 2005 Bab 6(1), pengimportan dan penjualan rokok elektronik di Negara Brunei Darussalam boleh dikenakan denda tidak melebihi dari $5,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi dari $10,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Kementerian Kesihatan berkata, e-cigarette atau vape dan e-liquid yang mengandungi bahan-bahan berbahaya seperti nikotin, bahan toksik atau bahan-bahan kimia adalah berisiko menyebabkan kanser dan menjejaskan kesihatan.

Di samping itu, pengambilan dan pendedahan kepada nikotin yang berpanjangan melalui sedutan berpotensi menjejaskan perkembangan otak janin, kanak-kanak dan remaja. Manakala, warna, bau dan cara pembungkusan e-liquid boleh menarik perhatian kanak-kanak dan seterusnya mendatangkan kemudaratkan dan risiko keracunan jika terminum atau termakan.

Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian Healthline 145 atau melayari lama web Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA