Nafi pertuduhan ke atas Najib

Nafi pertuduhan ke atas Najib

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) – Dakwaan kononnya wujud draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berasas kerana siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd masih berjalan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu berkata kertas siasatan berkaitan syarikat berkenaan masih belum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

“SPRM menegaskan siasatan berkaitan SRC International masih berjalan. Oleh itu, tidak timbul isu sudah ada draf kertas pertuduhan berkaitan kes yang sedang disiasat ini.

“Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 30 Julai 2015, bagi melengkapkan siasatan berkaitan isu SRC International Sdn Bhd, SPRM masih lagi mengesan beberapa saksi penting,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menafikan kewujudan draf berkenaan manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan menjalankan siasatan ke atas portal berita Sarawak Report kerana disyaki menyebarkan maklumat palsu itu.

Gambar fail 28 Julai 2015 menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) bersama Timbalan Perdana Menteri (kiri) yang baru dilantik. – AFP
Gambar fail 28 Julai 2015 menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) bersama Timbalan Perdana Menteri (kiri) yang baru dilantik. – AFP

Beliau berkata, berkata dakwaan oleh warga asing Clare Rewcastle Brown dalam blog politik, Sarawak Report adalah palsu.

“Kertas pertuduhan seperti yang didakwa itu tiada dan tidak pernah sampai ke Pejabat Peguam Negara.

Tambahan pula, format kertas pertuduhan itu tidak betul atau ditulis oleh Pejabat kami.

“Siasatan pasukan petugas khas masih belum selesai. Jadi adalah mustahil berdasarkan undang-undang bagi kertas pertuduhan itu dirangka lebih awal.

“Kertas pertuduhan seperti yang didakwa ini, menunjukkan terdapat konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri sekarang dengan mendakwa beliau melakukan kesalahan jenayah, dengan kaedah termasuk pembocoran maklumat palsu dan jenayah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan awal hari ini.

Mohamed Apandi juga berkata plot itu menjadi ancaman kepada demokrasi Malaysia dan beliau akan mengarahkan semua tindakan yang mungkin, diambil untuk menyiasat perkara itu.

“Penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya akan digunakan tanpa pengecualian kepada sesiapa yang didapati bersalah,” tambah beliau.

Sementara itu, SPRM berkata, maklumat berkaitan hasil siasatan tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak kerana ia satu tindakan bertentangan dengan undang-undang.

Selain itu, ia turut mengingatkan masyarakat bahawa tanggungjawabnya dalam menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah, bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk Kerajaan.

“Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional,” menurut kenyataan itu.