Nafi rekrut anggota untuk serang Malaysia

Nafi rekrut anggota untuk serang Malaysia

KOTA KINABALU, 2 Mac (Bernama) – Seorang tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini kelmarin, dia datang ke Sabah bukan untuk merekrut anggota untuk memerangi kerajaan Malaysia dengan niat menuntut negeri itu.

Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53, anak saudara Datu Agbimuddin Kiram, yang mengetuai penceroboh Kampung Tanduo, berkata dia terus berada di Sabah sejak 7 Nov 2012 atas arahan bapanya, Sultan Esmail Kiram II, yang mahu bertemu seorang pegawai polis di sana.

“Bapa saya berkata dia akan berada di Sabah untuk bertemu ACP Zulkifli yang akan membawanya (Sultan Esmail) ke Kuala Lumpur.

“Dia (Sultan Esmail) menasihati saya supaya menunggu ketibaannya. Tetapi disebabkan apa yang berlaku di Kampung Tanduo (pencerobohan bersenjata), bapa saya tidak datang,” katanya ketika memberi keterangan dalam bahasa Inggeris dari tempat duduk saksi.

Datu Amir Bahar membela diri atas dua pertuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas semasa pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.