Nahas bas, 4 pelajar maut

Nahas bas, 4 pelajar maut

SEATTLE, 25 Sept (AFP) – Sebuah bas sekolah yang membawa pelajar-pelajar antarabangsa bertembung dengan sebuah kenderaan lawatan di bandar West Coast AS, Seattle semalam, mengorbankan kira-kira empat orang dan mengakibatkan 15 orang lagi cedera parah, menurut para pegawai.

Gambar-gambar kemalangan berapi di jambatan sibuk itu memaparkan kerosakan teruk pada bahagian kiri bas itu, yang sebahagiannya patah sepenuhnya akibat kuatnya perlanggaran itu.

Melissa Mixon, jurucakap wanita bagi Kolej North Seattle, memberitahu AFP bahawa 45 orang pelajar dan kakitangan dalam program antarabangsa sekolah itu berada di dalam bas itu.

Dia tidak dapat memberi maklumat dengan segera mengenai kewarganegaraan atau usia para mangsa. Laporan berita tempatan mengatakan empat orang yang terbunuh kesemuanya adalah pelajar.

Presiden kolej Warren Brown memberitahu para pemberita bahawa para pelajar hendak melawat Safeco Field, stadium sukan, sebagai sebahagian program orientasi. Datuk Bandar Seattle Ed Murray berkata pihak berkuasa membantu para keluarga mangsa yang datang dengan penerbangan ke Seattle dari beberapa buah negara.

Pegawai perubatan memeriksa tempat kemalangan antara bas pelancong dan bas pelajar di Jambatan Aurora di Seattle, Washington pada 24 September. – AFP
Pegawai perubatan memeriksa tempat kemalangan antara bas pelancong dan bas pelajar di Jambatan Aurora di Seattle, Washington pada 24 September. – AFP

Mixon berkata “Kemalangan berlaku apabila bas sewa khas yang dalam perjalanan bersama para pelajar bertembung dengan kenderaan lawatan “Ride the Ducks”.

Kolej itu menerima kira-kira 1,000 orang pelajar antarabangsa dari 50 buah negara, termasuklah China, Korea dan Jepun, menurut laman sesawangnya.

Tahun kolej itu dijadualkan bermula Isnin ini.

Para penumpang di dalam bas itu dan kenderaan amfibia “Ride and Ducks” – digunakan bagi lawatan di beberapa bandar AS – dapat dilihat merangkak, sebilangan mereka dalam keadaan kebingungan dan berlumuran darah, manakala yang lain dibawa pergi dengan pengusung.

Nama “Duck” didapati dari DUKW, iaitu kenderaan amfibia empat tayar yang digunakan oleh ketenteraan AS ketika Perang Dunia II.

Para saksi berkata kenderaan lawatan itu nampaknya mempunyai masalah pada tayar depan kirinya ketika ia membelok dan merempuh sebuah SUV sebelum berlanggar dengan bas sekolah itu yang datang dari arah bertentangan.

Bradley Sawhill, yang menyaksikan kemalangan itu, memberitahu Seattle Times bahawa segala-galanya berlaku dengan begitu pantas.

“Saya keluar dari kereta saya dan mayat-mayat dilihat di mana-mana. Orang ramai terbaring di jalan raya,” katanya. Pihak berkuasa turut mengatakan selain empat yang terkorban, 51 orang cedera dalam nahas itu dan 15 dalam keadaan kritikal, termasuk beberapa daripadanya menjalani pembedahan.