Nahas bas ragut 3 jiwa

Nahas bas ragut 3 jiwa

SYDNEY, 21 Jun (AFP) – Tiga penduduk tempatan Vanuatu terbunuh dan 10 pelancong Australia cedera, ada di antara mereka parah, apabila dua buah bas berlanggar di ibu negeri negara Pulau Pasifik, kata pegawai hari ini.

Pelancong sedang mengadakan perhentian bermalam ketika pelayaran persiaran P&O dari Brisbane ke Vanuatu di New Caledonia apabila bas mereka merempuh sebuah kenderaan lain pada lewat semalam di Port Vila.

Akhbar The Vanuatu Daily Post melaporkan dalam Twitter bahawa tiga penduduk tempatan terbunuh dalam kemalangan sementara P&O berkata 10 daripada 12 pelancong dalam bas mengalami kecederaan.

Ambulans udara terbang dari Brisbane dan Noumea ke Port Vila untuk memindahkan warga asing yang cedera parah, dengan hospital tempatan bergelut untuk menghadapi dan mengatasi kes tersebut.

“Sekarang boleh disahkan bahawa 10 daripada pelancong Pasific Dawn mengalami kecederaan serius,” kata P&O dalam laman Facebooknya.

Ann Sherry, pengerusi eksekutif Carnival yang mewakili jenama pelayaran persiaran terkenal Australia termasuk P&O, berkata tiga kanak-kanak adalah antara mereka yang cedera, dengan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dalam keadaan kritikal dengan kecederaan di kepala.

“Ia adalah kejadian teruk jelasnya, dan kami telah melakukan sedaya upaya untuk menyokong dan memastikan keluarga menerima penjagaan yang diperlukan oleh mereka,” beritahunya kepada wartawan di Sydney, menambah kebanyakan mangsa mengalami keretakan.

Pelancongan adalah amat penting kepada ekonomi Vanuatu dan Menteri Utiliti Awam Jotham Napat berjanji akan melancarkan siasatan penuh dalam nahas tersebut.

“Kerajaan Navuatu sangat komited dalam memastikan keselamatan di jalan-jalan raya kami,” kata beliau dalam satu kenyataan.

“Pelancongan adalah salah satu industri kami yang paling penting dan menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan pelawat kami menikmati segala yang ditawarkan oleh Vanuatu.”

The Pacific Dawn yang membawa 2,000 penumpang, akan meneruskan perjalanannya, tambah Sherry, menafikan kemalangan itu akan menghalang pengunjung masa depan.

ARTIKEL YANG SAMA