Nahas helikopter ragut 5 nyawa

NEW YORK, 12 Mac – Sebuah helikopter terhempas dan menyebabkan kesemua lima orang penumpangnya terkorban lewat semalam setelah helikopter yang dinaiki mengalami kemalangan dan jatuh di Sungai Timur Manhattan, menurut para pegawai.

Helikopter dengan warna merah itu dimiliki oleh syarikat pelancongan Liberty dan membawa enam orang penumpang termasuk juruterbang, telah jatuh di sungai berdekatan sebuah kejiranan Upper East Side, sekitar Jalan ke-90 sejurus jam 7 malam waktu setempat.

“Juruterbang berjaya menyelamatkan dirinya tetapi lima orang penumpang yang lain tidak bernasib baik,” menurut Pesuruhjaya Bomba Daniel Nigro kepada wartawan semasa sidang akhbar. Tambahnya, “Kami diberitahu kelima-lima penumpang itu kesemuanya terikat pada tali pinggang keselamatan dengan kencang dan terpaksa dipotong.”

Para penyelam bergegas ke tempat kejadian dan melepaskan ke semua penumpang, dua daripada mereka diumumkan meninggal dunia di tengah-tengah arus deras dan suhu yang sangat sejuk.

Daniel Nigro semasa sidang media berikutan nahas helikopter yang telah meragut lima orang penumpangnya di New York, kelmarin. – AP

Manakala, tiga yang lain dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal, ujar Nigro.

Liberty merupakan sebuah syarikat pelancongan yang mengadakan lawatan udara di sekitar ibu negara kewangan Amerika. Menurut, ketua polis James O’Neill, helikopter itu telah disewa oleh para jurugambar.

Televisyen New York 1, memetik sumber polis, melaporkan bahawa lima daripada enam orang yang menaiki helikopter itu telah terkorban dan hanya juruterbang sahaja yang terselamat.

Punca kemalangan masih tidak diketahui akan tetapi media setempat menunjukkan bahawa juruterbang berkenaan telah menghantar satu isyarat kecemasan yang menyatakan berlakunya masalah pada enjin sebelum berlakunya kemalangan. – AFP